Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    EWF ke-19 bincang cabaran pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Dengan mengetengahkan perbincangan dalam pelbagai aspek termasuk isu dan cabaran yang berkaitan dengan pendidikan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah menghadiri Forum Pendidikan Sedunia (EWF) ke-19 pada 7 hingga 10 Mei lalu di Queen Elizabeth II Centre, London, United Kingdom (UK).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, turut mengiringi Yang Berhormat Datin semasa forum berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

    EWF merupakan perhimpunan terbesar menteri-menteri pendidikan dan penggubal dasar pendidikan seluruh dunia yang bertujuan untuk membincangkan dasar pendidikan masa hadapan.

    Ia telah dihadiri oleh 88 menteri pendidikan dari 116 buah negara yang disokong oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), Jabatan Pendidikan (DfE), Jabatan Perniagaan dan Perdagangan (DBT), British Council dan rakan kongsi industri EWF.

    Selain itu, forum tahunan itu juga bertujuan untuk membina kepimpinan dan daya tahan terhadap pendidikan yang lebih kukuh bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga pengajian tinggi dan seterusnya pembelajaran sepanjang hayat.

    Tema EWF 2023 ialah ‘Permulaan Baharu: Memupuk Budaya Pembelajaran Membina Ketahanan, Menggalakkan Kelestarian. Lebih Kuat, Lebih Berani, Pendidikan yang Lebih Baik dengan Reka Bentuk’ di mana ia diisikan dengan beberapa sesi plenari dan Sesi Pertukaran Pandangan Bersama Menteri yang membincangkan pelbagai aspek termasuk isu dan cabaran yang berkaitan dengan pendidikan.

    Selain itu, ia juga diisikan dengan sesi lawatan ke sekolah-sekolah yang terpilih di London.

    Semasa menghadiri forum berkenaan, Yang Berhormat Datin juga mengadakan perjumpaan dengan Menteri Negara (Menteri Negara bagi Sekolah-Sekolah), Jabatan Pendidikan, UK, Tuan Yang Terutama Nicholas John Gibb, bagi membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan UK khususnya dalam bidang pendidikan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dan delegasi semasa menghadiri EWF ke-19 di UK, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...