Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Forum Kesalinghubungan ASEAN bincang hubungan dengan ROK

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Perbincangan mengenai infrastruktur mapan dan inovasi digital telah diketengahkan dalam Forum Kesalinghubungan ASEAN ke-9 yang diadakan selama dua hari, 18 dan 19 Januari, lalu secara hibrid.

    Forum yang dikendalikan bersama oleh ASEAN-Korea Centre dan International Contractors Association of Korea (ICAK) itu memberikan penumpuan kepada dua bidang strategi yang digariskan dalam Pelan Induk bagi Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 iaitu pelan tindakan serantau yang bermatlamat untuk mencapai sebuah ASEAN yang lebih berintegrasi dan saling berhubungan.

    Semasa forum berkenaan, Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea, Lee Seong-ho dalam ucapannya menyatakan bahawa penglibatan Republik Korea dalam kesalinghubungan ASEAN seperti infrastruktur mapan, inovasi digital dan pergerakan penduduk, menekankan kesanggupan Korea untuk menyumbang kepada meningkatkan lagi kesalinghubungan ASEAN melalui sinergi antara New Southern Policy (NSP) dan MPAC 2025.

    Dalam ucapannya lagi, beliau menyatakan bahawa kerajaan Republik Korea (ROK) telah mengembangkan asas institusi dan kewangan untuk melaksanakan NSP secara konsisten serta menyatakan perlunya bagi Korea dan ASEAN untuk meneroka jalan yang inklusif serta berdaya tahan bagi pemulihan daripada impak COVID-19 bersama untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang kesalinghubungan ASEAN.

    Forum itu menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kesaling-hubungan ASEAN dan Wakil Tetap Kemboja ke ASEAN, Yeap Samnang membincangkan mengenai perkembangan dan cabaran yang dihadapi projek-projek kesalinghubungan semasa pandemik ini.

    Forum berkenaan juga membincangkan laluan ke hadapan bagi kesalinghubungan ASEAN dalam era pasca COVID dan cara untuk mempromosi pembiayaan pelbagai projek kesalinghubungan.

    Pada hari kedua forum, Pasukan Pengurusan Program ASEAN-ROK yang berpangkalan di Jakarta membentangkan mengenai cara-cara untuk menggunakan ASEAN-Korea Cooperation Fund bagi projek-projek kesalinghubungan manakala itu, negara-negara anggota ASEAN membentangkan mengenai projek-projek dalam sektor pengangkutan, tenaga dan bandar raya pintar.

    Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-22 yang berlangsung pada November 2021, pemimpin ASEAN dan Korea telah menekankan perlunya kerjasama yang lebih kukuh dalam kesalinghubungan termasuk dalam bidang bandar raya pintar.

    Di samping itu, Kemboja sebagai pengerusi ASEAN 2022, juga menekankan kerjasama dalam kesalinghubungan ASEAN di mana adalah penting untuk mengukuhkan kesalinghubungan fizikal dan digital supaya ASEAN akan menjadi rakan kongsi pelaburan serta perdagangan yang menarik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...