Tuesday, May 21, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Google uji padam pautan berita California

    SAN FRANCISCO, 14 APRIL – Google pada Jumaat mengumumkan bahawa syarikat itu sedang menguji penyingkiran pautan ke laman berita California bagi beberapa pengguna di negeri barat Amerika Syarikat (AS) ketika penggubal undang-undang mempertimbangkan untuk mengharuskan gergasi pencarian dalam talian itu membayar untuk menghubungkan orang ramai dengan berita.

    Jaffer Zaidi, Naib Presiden Perkongsian Berita Global Google, menerangkan dalam catatan blog bahawa syarikat itu sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan kelulusan California Journalism Preservation Act (CJPA). Akta itu akan mencipta ‘cukai pautan’ bagi pautan yang menghubungkan pengguna di negeri itu kepada artikel berita.

    CJPA telah diluluskan oleh Dewan Perhimpunan California pada Jun tahun lalu dan kini sedang dipertimbangkan oleh senat negeri.

    “Seperti yang telah kami kongsikan apabila negara lain mempertimbangkan cadangan yang sama, pendedahan kewangan yang tidak terhad yang dicipta oleh CJPA tidak akan dapat dilaksanakan,” kata Zaidi.

    “Jika digubal, CJPA dalam bentuk semasa akan mewujudkan tahap ketidakpastian perniagaan yang tidak boleh diterima oleh syarikat,” tambahnya.

    Google dan Meta, pemilik Facebook, telah menolak usaha dalam bidang kuasa lain yang menghendaki mereka membayar pampasan kepada saluran berita untuk cerita yang muncul di platform mereka.

    Facebook pernah seketika menyekat artikel berita di laman webnya di Australia pada tahun 2021 selepas kelulusan undang-undang yang serupa, sebelum syarikat itu dan Google bersetuju untuk membuat perjanjian bagi membayar penerbit berita.

    Di Perancis, sebuah perjanjian telah dicapai pada tahun 2022 antara Google, penerbit, dan agensi berita yang membolehkan kandungan berita dipaparkan di platformnya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua maut ditikam di sekolah rendah China

    BEIJING, 20 MEI - Seorang wanita yang menghunus pisau buah telah membunuh dua orang dan mencederakan empat lagi hari ini di sebuah sekolah rendah...