Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hospital Suri seri Begawan rai jubli emas

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 27 NOV – Rakyat dan penduduk yang sihat serta perkhidmatan kesihatan yang berkembang maju, utuh dan stabil akan memacu kedayatahanan sosioekonomi negara.

    Ini kerana kesihatan dan perkhidmatan kesihatan merupakan aset sangat bernilai dan keperluan asas yang sangat penting dalam perawatan pesakit. Kedua-duanya saling berkait rapat.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 tahun Penubuhan Hospital Suri Seri Begawan di dewan serba guna hospital itu di Kuala Belait, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut menggariskan pencapaian hospital itu sepanjang lima dekad, antaranya mengembang luaskan perkhidmatan klinik dalam pelbagai bidang kepakaran. Ia termasuklah perkhidmatan klinikal dan diagnostik serta perkhidmatan profesional kesihatan bersekutu.

    Beliau seterusnya berharap pada tahun-tahun akan datang, semua pegawai dan kakitangan dapat menggandakan usaha, keazaman dan tekad ke arah meningkatkan prestasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan memotong kek Jubli Emas 50 tahun Hospital Suri Seri Begawan.
    Yang Berhormat Dato semasa menyaksikan pameran pada sambutan itu.

    “Setiap warga Hospital Suri Seri Begawan hendaklah bertindak secara dinamik, berinovatif dan proaktif dalam memantapkan lagi perkhidmatan masing-masing ke arah kecemerlangan dan kegemilangan yang jitu.

    “Kesemua pencapaian dan perancangan sistematik yang terarah akan memberi kesan positif yang setentunya memberi impak kepada peningkatan imej dan integriti hospital serta menambah keyakinan orang awam terhadap perkhidmatan yang diberikan,” jelasnya.

    “Ini akan mengukuhkan fungsi dan peranan Hospital Suri Seri Begawan dalam merealisasikan bukan sahaja Visi Kementerian Kesihatan iaitu ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’ tetapi juga Wawasan Brunei 2035 iaitu ‘Kualiti Kehidupan Di kalangan 10 Negara Teratas Di Dunia.’

    Buku ‘Lakaran Kecemerlangan 50 tahun Tahun Hospital Suri Seri Begawan’ yang akan diterbitkan, jelasnya, adalah sebagai bahan rujukan yang sangat penting mengenai sejarah perkembangan dan pencapaian Hospital Suri Seri Begawan sepanjang lima dekad.

    Penyampaian anugerah-anugerah penghargaan bagi Anugerah Penderma Darah 5 Teratas, Anugerah Pekerja Cemerlang dan Anugerah Pekerja Lama Berkhidmat turut diadakan.

    Ia juga diserikan dengan pameran jubli emas yang dikendalikan oleh perkhidmatan-perkhidmatan di Hospital Suri Seri Begawan.

    Pelbagai program dan aktiviti juga telah dirancang sebagai kesinambungan dan juga untuk memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas Penubuhan Hospital Suri Seri Begawan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...