Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ian lelong cermin mata kumpul dana

    Vokalis kumpulan Radja, Ian Kasela, 46, menafikan mengalami kesempitan wang ketika pandemik COVID lalu.

    Jelas Ian, tindakannya melelong cermin mata hitam dengan harga 250 juta rupiah (RM75,000) untuk tujuan mengumpul dana bagi untuk membantu orang sekeliling yang memerlukan.

    “Sebenarnya, lelongan kaca mata hitam ini bukanlah untuk tujuan peribadi. Selepas melihat situasi orang sekeliling, saya ingin membantu.

    “Logik sebagai manusia, kita berfikir apa yang boleh bantu pada saat saya juga tidak mempunyai pendapatan.

    “Jadi, saya cuba mencari wang dengan cara menjual sesuatu yang peminat tahu mengenai saya. Salah satunya, mereka tahu vokalis Radja sinonim dengan kaca mata hitam.

    Ian melelong cermin mata untuk mengumpul dana bagi membantu orang sekeliling yang memerlukan. – Agensi

    “Namun, kaca mata hitam yang dilelong tidak terjual kerana harga ditawarkan, tidak sampai. Harga lelongan hanya cecah sehingga RM36,000, tetapi sasaran saya RM75,000.

    “Sekiranya, ada yang mahu membeli dengan harga ini, barulah saya jual. Dan, wang yang diperoleh ini akan saya sumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Ada juga peminat di Malaysia menawarkan harga RM25,000,” katanya kepada media.

    Terdahulu, arahan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Jakarta berikutan pandemik COVID memberi impak besar kepada orang ramai. Ian, antara selebriti yang sanggup melelong koleksi kaca mata hitam yang sering digunakannya bagi membantu orang ramai.

    Kata Ian, pandemik turut memberi kesan kepadanya, namun, bersyukur kewangannya tidak terlalu terjejas atas pengurusan wang yang betul.

    “Jadi, saya mahu jual kaca mata hitam bukan untuk keperluan saya. Bukan kerana saya mengalami kesusahan, tetapi saya mahu mencuba membantu mereka yang lebih memerlukan.

    “Saya sedar orang baik adalah mereka yang membantu orang sekeliling terlebih dahulu, sebelum membantu orang yang lebih jauh,” katanya.

    Kongsi Ian, kaca mata hitam yang mahu dijual adalah koleksi yang disimpan lebih 20 tahun. Ian ditemui pada sidang media Konsert Radja dan Repvblik Live In Kuala Lumpur di Restoran Riverside, World Trade Centre (WTC).

    Turut hadir, vokalis Repvblik, Ruri Herdian Wantogia. Buat kali pertama, Radja akan bergabung bersama Repvblik menerusi konsert di WTC pada 13 November depan.

    Kata Ian, Kuala Lumpur adalah ibu kota pertama di luar Indonesia yang menyaksikan gabungan semula Radja selepas berpecah seketika dan istimewanya, satu pentas bersama Repvblik.

    Radja adalah salah satu kumpulan dari Indonesia yang cukup popular di Malaysia sekitar 2001. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...