Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jaga disiplin, nama baik Brunei

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Atlet kebangsaan dan para pegawai yang mewakili negara diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin dan nama baik Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Komanwel Birmingham di England.

    Atlet juga diseru untuk bertanding dengan penuh semangat juang yang tidak kendur-kendur dan bukannya hanya sekadar menyertai sukan tersebut.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel 2022 di Brimingham pada majlis yang berlangsung Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas hari ini.

    Duli Yang Teramat Mulia menegaskan bahawa penyertaan semua kejohanan berkontinjen termasuklah Sukan Komanwel adalah berdasarkan sukat-sukat dan penilaian terperinci, yang telah dibuat oleh ahli-ahli Urus Setia Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan.

    Laporan penilaian dan pemilihan bagi sukan dan para atlet yang disokong dan tidak disokong, akan dihadapkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi, Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan beramah mesra dengan atlet negara yang akan menyertai Sukan Komanwel di Birmingham, England.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan mengurniakan sabda.

    Sehubungan itu, para atlet seharusnya berasa bangga atas penyertaan mereka dan bertanding dengan semangat juang tinggi, sabdanya.

    Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam menghantar kontinjen seramai 12 orang terdiri daripada tujuh atlet dalam dua acara sukan iaitu seorang atlet dalam sukan angkat berat, enam orang atlet sukan boling padang serta tiga orang pegawai dan dua orang jurulatih.

    Duli Yang Teramat Mulia turut mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet terpilih terutamanya atlet angkat berat yang telah melayakkan diri dalam acara 61kg sukan tersebut di Birmingham.

    “Pencapaian atlet angkat berat ini hendaklah dijadikan contoh oleh atlet-atlet kebangsaan agar sentiasa berusaha dengan gigih, untuk melayakan diri bukan saja bagi Sukan Komanwel, malah bagi semua sukan yang akan disertai Negara Brunei Darussalam, seperti Sukan Olimpik, Sukan Belia Olimpik, Sukan Asia dan sebagainya.

    Duli Yang Teramat Mulia turut yakin atlet-atlet terpilih telah sedia maklum peraturan-peraturan mewakili negara, terutamanya peraturan bahan terlarang ataupun peraturan doping.

    “Inilah peluang para atlet untuk membuktikan kebolehan mereka setelah dipilih oleh ahli Urus Setia Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan yang telus dan bukannya pilih kasih,” tambahnya.

    Duli Yang Teramat Mulia turut mengingatkan atlet dan pegawai supaya sentiasa menjaga diri daripada wabak COVID disam-ping mematuhi semua peraturan dan SOP yang telah disediakan dan ditetapkan oleh pihak penganjur.

    Dalam sabdanya juga, Duli Yang Teramat Mulia mengucapkan tahniah kepada kontinjen Sukan SEA negara di Hanoi, Vietnam terutama atlet-atlet yang telah meraih pingat buat negara di samping ucapan tahniah yang turut ditujukan kepada kejayaan atlet-atlet wusyu negara yang turut meraih pingat emas dan perak dalam Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat minggu lalu.

    “Semua ini adalah satu bukti yang nyata bahawa dengan disiplin dan latihan yang gigih dan berterusan, akhirnya membawa kejayaan yang cemerlang. Perkara ini perlulah dicontohi dalam mencapai matlamat yang sama iaitu pencapaian yang mengharumkan nama negara.

    “Oleh yang demikian pada pendapat dan pandangan saya, semua persatuan sukan dan jurulatih kebangsaan sepatutnya mempunyai jadual latihan yang berterusan di sepanjang masa dan bukannya hanya mengharapkan adanya kejohanan, barulah hendak mengadakan latihan.”

    Dengan adanya sesi latihan berterusan sepanjang masa, perkara ini akan menyenangkan semua, terutama ahli-ahli Urus Setia Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan untuk menilai dan memilih atlet-atlet disokong oleh jawatankuasa tertinggi bagi menyertai apa jua kejohanan yang akan negara sertai.

    Di samping itu, atlet-atlet kebangsaan kita juga akan sentiasa bersedia untuk mewakili negara pada bila-bila masa saja, tekan Duli Yang Teramat Mulia pada hujung sabdanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...