Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Phnom Penh

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja bagi menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan yang akan bermula esok sehingga 13 November, seterusnya mengadakan Keberangkatan Negara ke Kemboja pada 14 November.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Senior Minister in Charge of Special Mission, Tuan Yang Terutama Okhna Datuk Dr Othsman Hassan.

    Turut menjunjung keberangkatan Baginda Sultan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kasmirhan bin Pengiran Haji Tahir.

    Terdahulu itu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Senior Minister in Charge of Special Mission, Tuan Yang Terutama Okhna Datuk Dr Othsman Hassan semasa keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja bagi menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41, sidang-sidang kemuncak berkaitan yang akan bermula esok serta mengadakan Keberangkatan Negara. Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen melambaikan tangan sebelum berangkat masuk ke pesawat.
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima junjung ziarah semasa keberangkatan di tempat persemayaman.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
    Doa Selamat dibacakan sebelum keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dari Istana Nurul Iman.
    Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Berangkat sama dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Kemboja selaku Pengerusi ASEAN bagi 2022 akan menghoskan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan yang menghimpunkan para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog bagi meneruskan perbincangan mengenai agenda dan keutamaan ketiga-tiga tunggak Komuniti ASEAN iaitu ASEAN Political-Security Community, ASEAN Economic Community dan ASEAN Socio-Cultural Community serta mengukuhkan kerjasama ASEAN bersama rakan-rakan dialog.

    Manakala itu, Keberangkatan Negara Baginda kali kedua ke Kemboja akan mengesahkan semula hubungan dua hala yang mesra dan seterusnya menggariskan keperluan untuk terus menjalin dan meluaskan kerjasama bagi manfaat yang lebih besar kepada rakyat kedua-dua buah negara, ini termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, pendidikan, belia, sukan dan kebudayaan.

    Pada tahun ini, Brunei Darussalam dan Kemboja menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik sejak dijalinkan pada 9 Jun 1992.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...