Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Jangan risau bekas pesakit masih bergejala

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tidak perlu berasa bimbang jika terdapat warga sekolah yang sudah pulih daripada dijangkiti tetapi masih mempunyai simptom ringan.

    Dalam perkara ini, pesakit yang telah pulih dan tamat tempoh kuarantin serta masih dalam pemulihan, dibenarkan untuk kembali bekerja atau ke sekolah walaupun simptom mereka berlanjutan kerana jangka masa seseorang untuk pulih daripada gejala adalah tidak sama.

    Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada sidang media hari ini bagi menjawab kebimbangan sebilangan ibu bapa dan penjaga terhadap simptom COVID yang masih dihadapi oleh mereka yang telah pulih daripada jangkitan.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, ini juga sama seperti jangkitan lain di mana individu yang telah pulih daripada jangkitan COVID mungkin akan terus mengalami simptom ringan yang berterusan seperti batuk dan keletihan atau lemah.

    Katanya lagi, “Simptom ini biasanya mengambil masa untuk hilang dan pulih dengan sendirinya dan individu yang mempunyai simptom seperti ini tidak akan menjangkiti orang lain dan mereka juga tidak perlu mengasingkan diri.”

    Sehubungan itu, jelasnya lagi, orang ramai dalam hal ini tidak perlu berasa risau jika terdapat penuntut yang sudah pulih daripada dijangkiti COVID menghadiri persekolahan biasa, kerana ia tidak akan menjangkiti penuntut lain.

    Yang Berhormat Pehin semasa sidang media turut menasihatkan individu yang mempunyai simptom batuk dan selesema supaya menggunakan pelitup muka atau menutup mulut menggunakan tisu atau tuala semasa bersin dan batuk.

    “Ini adalah amalan yang baik dan telah berjaya bagi mengelakkan daripada menjangkiti atau dijangkiti virus dan sama-sama terus bertawakal dan mendoakan semoga negara terus dilindungi daripada COVID,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menjawab persoalan yang diajukan pada sidang media kelmarin.- Gambar oleh Syahmi Hassan

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...