Sunday, May 19, 2024
33 C
Brunei

    -

    JBP terus proaktif, siap siaga

    Oleh Sim Y.H.
    Gambar serahan JBP

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang kini menjangkau usianya ke-63, kekal menjadi agensi strategik dalam kerajaan dan bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada orang ramai termasuk sektor komersial dan industri di Negara Brunei Darussalam.

    Kesiapsiagaan, komitmen serta kecekalan para pegawai dan anggotanya dalam menggalas tanggungjawab tanpa mengira waktu demi keselamatan negara khasnya dan negara serta penduduk di negara amnya adalah sangat dituntut dan dihargai.

    Oleh itu, setiap anggota bomba dan penyelamat perlu mempunyai sikap profesionalisme, cekal dan berintegriti kerana dengan sikap itu, JPB boleh mendapat kepercayaan di mata masyarakat selaras dengan misi JPB iaitu mengurangkan kadar kejadian akibat kebakaran dan bertindak secara profesional dalam menangani apa-apa jua panggilan kecemasan.

    Semasa Upacara Perbarisan Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JPB ke-63 yang berlangsung di Pusat Latihan, JPB Lambak Kanan pada 24 Mei lalu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berkata bahawa menyedari akan pentingnya keperluan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan masa tindak balas dalam menangani insiden kebakaran dan kerja-kerja menyelamat, pada 20 April 2023, kerajaan melalui JBP telah menandatangani kontrak perjanjian pajak sewa bagi pembekalan 30 buah jentera bomba jenis Water Tender Ladder (WRL) dengan Brunei Engineering, Logistics dan Training Solutions Sdn Bhd (BELTS).

    Dengan termeterainya perjanjian itu, ia akan meningkatkan keberkesanan dan kesiapsiagaan JBP dalam memberikan perkhidmatan serta masa tindak balas khususnya dalam kerja-kerja menyelamat, memadam kebakaran yang melibatkan struktur bangunan, kenderaan dan juga semasa terjadinya bencana alam dan panggilan kecemasan yang lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa memeriksa perbarisan semasa sambutan berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin memeterai perjanjian semasa majlis berkenaan.

    Selain daripada itu, peruntukan juga telah disediakan untuk mengganti dan membaik pulih pili-pili bomba iaitu sebagai usaha pelaksanaan pemadaman kebakaran yang lebih efisien.

    Pada masa ini, JBP sedang membuat perundingan dengan Kementerian Pembangunan untuk memasang pili-pili bomba di kawasan lebuh raya untuk meningkatkan lagi masa tindak balas dalam menangani insiden-insiden kebakaran sama ada kebakaran belukar atau kenderaan di tempat yang berkenaan.

    Selain daripada meningkatkan kesiapsiagaan JBP dari segi logistik, jabatan berkenaan juga melaksanakan beberapa inisiatif dalam memberikan program kesedaran kepada orang awam yang berkaitan dengan tatacara mencegah kebakaran di negara ini.

    Dalam hubungan itu, pelantikan marsyal bomba di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan di setiap kementerian adalah sebagai respons awal terhadap perkara yang berkaitan dengan kecemasan dan keselamatan.

    Pada masa ini, terdapat seramai 3,906 orang marsyal bomba diiktiraf yang terdiri daripada kalangan pegawai kerajaan dan sektor swasta.

    Walau bagaimanapun, pengiktirafan marsyal bomba adalah untuk tempoh tiga tahun sahaja di mana mereka hendaklah mengikuti program ulang kaji untuk memperbaharui sijil berkenaan.

    Inisiatif itu turut dilaratkan di peringkat akar umbi melalui majlis perundingan mukim dan kampung dan institusi pendidikan dalam sama-sama memberikan pengetahuan asas pencegahan dan penyelamat jika terjadi insiden kebakaran di mukim dan kampung.

    Melalui program kesedaran dan kesiapsiagaan itu, ia telah menampakkan hasil dan menjadi bukti keberkesanan penglibatan orang awam termasuk penduduk mukim dan kampung dalam membantu memadam kebakaran sebelum ketibaan anggota bomba di tempat kejadian.

    Tindakan awal sebagai first responder itu secara tidak langsung telah menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kerugian harta benda.

    Program-program kesedaran seperti taklimat Lifesaver 995, Kursus Marsyal Bomba dan latihan kebakaran terbukti kejayaannya dalam melahirkan komuniti masyarakat yang proaktif dan responsif dalam membantu JBP melaksanakan tindakan awal bagi memadam dan juga pengosongan bangunan sebelum tiba pasukan bomba dan penyelamat.

    Dari 2020 hingga 2022, seramai 184 orang awam telah menerima Sijil Masyarakat Berjasa iaitu sebagai first responder serta hingga Mei 2023, seramai 29 orang awam telah dan akan diberikan Sijil Masyarakat Berjasa.

    Mereka kebanyakan mempunyai pengetahuan asas memadam kebakaran dengan cara yang betul di mana mereka terdiri daripada pekerja-pekerja stesen minyak, tukang masak dan pengawal-pengawal keselamatan.

    Dalam menghadapi cabaran dan perkembangan semasa, JBP akan terus berusaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai dan anggotanya menerusi program strategik serta pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan anggota JBP.

    Semua itu adalah bagi merealisasikan visi dan misi JBP untuk terus maju jaya dan meningkatkan keupayaannya dalam segenap bidang demi sama-sama memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...