Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jimatkan air ketika berwudhu’

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Air merupakan satu nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menjadi asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini.

    Tidak kira manusia, binatang ataupun tumbuhan semuanya tidak akan dapat hidup tanpa air.

    Khusus bagi manusia, air bukan sahaja merupakan keperluan asasi dalam kehidupan seharian, bahkan air juga berkait rapat dengan perkara-perkara ibadat.

    Kepentingan air jelas terasa pada waktu ia sukar diperolehi. Bayangkan sahaja kesukaran yang berlaku setiap kali bekalan air ditutup atau dengan sebab-sebab lain seperti kemarau, paip air rosak dan yang seumpamanya.

    Rutin kehidupan harian seseorang pasti akan terjejas.

    Bagaimana seseorang itu mandi, berwudhu’, beristinja’, memasak dan sebagainya tanpa air? Sama ada sedar ataupun tidak, kita seakan kurang menghargai nikmat air kerana buat masa ini, ia masih mudah diperolehi. Akibat kurang menghargai nikmat air ini, terdapat sebilangan orang yang membazirkan air dengan menggunakannya lebih daripada kadar yang diperlukan. Antara waktu yang banyak berlaku pembaziran air ialah ketika mengambil air wudhu’.

    Air merupakan satu nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menjadi asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini.

    Kadar penggunaan air untuk berwudhu’ menurut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

    Terdapat beberapa riwayat tentang kadar penggunaan air yang digunakan Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda berwudhu’.

    1. Riwayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga (⅔) mud air

    Dua pertiga mud air adalah kadar yang paling sedikit tentang air wudhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, antaranya Abdullah bin Zayd dan Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallahu ‘anhum.

    Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam hendak berwudhu’, lalu Baginda dibawakan dengan bejana yang berisi air dalam kadar dua pertiga mud”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasa’ie)

    2. Riwayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air

    Adapun riwayat yang memberitakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air atau yang sebanding dengannya pula diriwayatkan dengan beberapa lafaz sukatan yang berlainan daripada beberapa orang sahabat, antaranya:

    i) Satu mud:

    Diriwayatkan daripada Anas, Safinah, Aishah dan Jabir Radhiallahu ‘anhum.

    Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan satu mud air”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    ii) Dua Rithl:

    Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu’ dengan bejana yang muatnya menampung dua rithl air”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi)

    Menurut satu pendapat, dua rithl ini adalah bersamaan dengan kadar satu mud.

    iii) Satu Makkuk:

    Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mandi dengan lima makkuk air, dan Baginda berwudhu’ dengan satu makkuk air”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, berkemungkinan makkuk ini adalah sama dengan mud.

    Menurut riwayat-riwayat ini, kadar air wudhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabat adalah satu mud atau dua pertiga mud.

    Adapun kadar satu mud itu adalah satu perempat sha‘. Ini bersamaan dengan satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi atau dua rithl menurut pendapat sesetengah ulama.

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi adalah pendapat yang masyhur dan tepat. Kadar berkenaan adalah lebih kurang sekitar 0.567 hingga 0.7 liter atau 567 hingga 700 mililiter.

    Adakah disyaratkan kadar tertentu penggunaan air dalam berwudhu’?

    Riwayat-riwayat mengenai wudhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat berjimat dalam menggunakan air. Bagaimanapun, adakah kadar-kadar dalam riwayat tersebut berbentuk tahdid (perlu diikut kadarnya) ataupun sekadar petunjuk serta saranan supaya tidak membazirkan air?

    Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa berdasarkan ijma‘, tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air ketika berwudhu’.

    Selagimana ia adalah kadar yang mencukupi bagi setiap anggota, maka yang demikian itu adalah memadai walau berapa pun kadarnya.

    Sungguhpun demikian, menurut Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashab Rahimahumullah, mustahab (disunatkan) air wudhu’ itu tidak kurang daripada kadar satu mud bagi orang yang memiliki tubuh badan yang sederhana. Syeikh al-Banjari Rahimahullah berkata dalam kitabnya Sabil al-Muhtadin:

    “Dan sunat bahawa jangan kurang air mandi itu daripada satu sha‘ dan air wudhu’ daripada satu mud pada tubuh orang yang sederhana kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ia mandi dengan satu sha‘ daripada air dan mengambil wudhu’ dengan satu mud daripadanya. Adapun orang yang tiada sederhana tubuhnya maka hendaklah dikuranginya atau ditambahinya daripada yang demikian itu dengan yang patut dengan hal tubuhnya”.

    Adapun kadar-kadar yang disebutkan dalam riwayat-riwayat berkenaan, menurut Imam ar-Rafi‘ie Rahimahullah adalah sebagai taqrib (kiraan kurang lebih) semata-mata dan bukannya tahdid.

    Ini bererti bahawa kadar menggunakan air untuk berwudhu’ adalah mengikut kadar yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’. Ini bermaksud ia tertakluk kepada keadaan fizikal tubuh badan masing-masing, sama ada kadar air yang mencukupi itu adalah satu mud, atau kurang daripada satu mud.

    Bahkan tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu lebih daripada kadar satu mud, dan kadar lebih daripada satu mud itu tidak membawa kepada pembaziran atau kadar kurang daripada satu mud itu tidak menyebabkan tidak tertunai tuntutan wajib.

    Maka sungguhpun tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air wudhu’, namun riwayat-riwayat ini memberi penjelasan mengenai didikan serta saranan supaya sentiasa berjimat dalam menggunakan air dan menggunakannya dalam kadar yang diperlukan sahaja ketika berwudhu’.

    Di samping itu, ia juga merupakan tegahan daripada melakukan pembaziran.

    Bagaimanapun, jika mampu mengikut kadar air sepertimana yang disebutkan dalam hadits-hadits berkenaan, maka yang demikian itu adalah lebih baik sebagai mencontohi (ittiba‘) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Membazir air suatu perbuatan yang ditegah oleh syara’

    Ulama sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika itu air banyak dan mudah diperolehi.

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, pendapat yang azhar mengenai hukum tegahan ini adalah makruh.

    Bagaimanapun, tegahan ini tidak boleh sekali-kali diambil ringan kerana sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e, antaranya Imam al-Baghawi dan Imam al-Mutawalli Rahimahumullah menyatakan bahawa hukumnya adalah haram. Tambahan lagi, sifat membazir secara umumnya adalah satu sifat yang dicela oleh Islam.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menyukai orang-orang yang membazir dan berlebih-lebihan sepertimana firmanNya yang tafsirnya:

    “Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-An‘am: 141)

    Orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra’: 27)

    Imam ash-Shan‘aani Rahimahullah berkata yang ertinya:

    “Dan telahpun dimaklumi larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada membazirkan air serta perkhabaran Baginda bahawa akan muncul kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’.

    Maka barangsiapa yang melampaui kadar yang sudah mencukupi menurut syara‘, maka dia dengan sendirinya telah melakukan pembaziran, maka yang demikian itu adalah haram”.

    Adapun perkhabaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang dimaksudkan oleh Imam ash-Shan‘aani Rahimahullah tentang kemunculan kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’ itu ialah sebuah hadits riwayat Abdullah bin al-Mughaffal Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya akan ada dari golongan umat ini kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berlebih-lebihan dalam berdoa”. (Hadits riwayat Imam Abu Daud)

    Adapun yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam bersuci’ ialah membazir air ketika berwudhu’ melebihi daripada kadar yang diperlukan.

    Manakala yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam berdoa’ pula ialah seperti mereka-reka doa yang tidak ada asal serta sumbernya dalam syara‘.

    Islam sangat prihatin dalam menjaga keperluan dan maslahat manusia.

    Oleh kerana itu, disebabkan pentingnya air kepada manusia, Islam menganjurkan supaya menjimatkan air sekalipun dalam berwudhu’.

    Ia disarankan supaya penggunaannya menurut kadar yang diperlukan sahaja. Jadi sahutlah seruan syari‘at dan contohilah sebaik-baik qudwah iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Melihat kepada senario semasa, mengambil air wudhu’ pada zaman sekarang menggunakan paip air, tidak kira sama ada yang disediakan di masjid, di rumah, di pejabat dan sebagainya.

    Berwudhu’ menggunakan paip air bukanlah halangan untuk menyahut seruan syari‘at serta petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika berwudhu’, elakkan membuka paip air sehingga airnya keluar deras atau ‘suak-suak’, memadailah membuka paip air dalam kadar yang munasabah dan difikirkan perlu sahaja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...