Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Joey tiada masalah soal bayaran

    Pelawak dan pelakon, Joey Daud, 49, tidak pernah berdepan masalah kadar bayaran diterima selama bergelar anak seni.

    Justeru itu, Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud bersyukur dan berterima kasih kepada syarikat produksi memahami dan banyak bertolak ansur dengannya.

    “Dalam 10 syarikat produksi, sekurang-kurangnya lapan syarikat produksi yang saya tidak perlu minta nilai bayaran, sebaliknya mereka sudah meletakkan harga bersesuaian.

    “Jadi, setakat ini, saya tiada masalah dengan soal bayaran. Disebabkan itu, saya rasa dihargai sebab terima bayaran berbaloi dengan pengalaman berada dalam industri seni.

    “Saya tidak menafikan bayaran semakin meningkat, tetapi ia tidaklah menyusahkan syarikat produksi. Ia adalah situasi menang-menang,” katanya kepada media.

    Joey bersyukur dan berterima kasih kepada syarikat produksi memahami dan banyak bertolak ansur dengannya. – Agensi

    Tambah Joey, dia bersyukur rezekinya mencurah-curah, memandangkan banyak syarikat produksi sedang giat menjalankan penggambaran.

    “Alhamdulillah, peluang kerja tidak putus sehingga penghujung tahun. Ada hikmahnya di sebalik pandemik COVID.

    “Ini kerana rezeki saya mencurah-curah. Syarikat produksi pun takut adanya sekatan pergerakan, jadi semuanya giat menyiapkan karya,” katanya.

    Sementara itu, Joey meluahkan kekesalan apabila masih ada pihak memandang jumlah pengikut dalam media sosial sebagai kriteria utama dalam sesebuah karya.

    Kata Joey, dia tidak kisah sekiranya pempengaruh mahupun YouTuber diberikan peluang berlakon, namun, berharap individu bermula dengan watak kecil, bukannya terus disuapkan watak utama.

    “Sekarang pengikut dalam media sosial boleh dibeli. Cara ini secara tidak langsung mengajar orang lain menipu bagi menempatkan diri dalam dunia seni.

    “Bagaimana dengan nasib pelakon berpengalaman yang tidak memiliki media sosial seperti Eman Manan. Adakah pelakon hebat sepertinya dipinggirkan?

    “Jika ikutkan, saya baru sahaja buat akaun Instagram. Saya harap janganlah disebabkan pelakon tiada pengikut, produksi tidak mahu ambil berlakon sedangkan kita tahu kemampuannya.

    “Sebenarnya, saya tidak kisah jika ingin beri peluang kepada pempengaruh atau YouTuber, tetapi janganlah terus diberikan watak utama, sebaliknya mulakan dengan watak ‘cameo’ atau pembantu.

    “Dari situ, mereka akan belajar bahasa kamera,” katanya.

    Joey berkata, dia sering berdepan situasi pempengaruh menyusahkan pasukan produksi dan pelakon untuk menjalankan kerja di lokasi penggambaran.

    “Soal ini terjadi sebab mereka tidak faham bahasa kamera. Ia menyusahkan seluruh pasukan produksi dan pelakon,” katanya.

    Terbaharu, Joey turut membintangi filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor yang menjadi karya pertama dihasilkan menerusi projek mega 12 filem dalam tempoh 24 bulan.

    Selain Joey, projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui pelakon, penyanyi berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman Daud serta memperkenalkan bintang baru, Ahirine Ahirudin.

    Mengulas lanjut, Joey berkata, tanggungjawab menghidupkan watak yang perlu menggunakan dialek Negeri Sembilan bukan sesuatu yang mudah, namun, akan cuba yang terbaik.

    Joey ditemui pada sidang media Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), baru-baru ini.

    Filem Gadis Jolobu The Movie yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan sejak minggu lalu. Ia dijangka ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY pada Jun depan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...