BEIJING, 30 OGOS – Berjuta-juta penduduk di kawasan sekitar ibu kota China kelmarin diarah untuk terus berada di rumah, dengan pihak berkuasa menggandakan usaha untuk membendung COVID menjelang mesyuarat penting Parti Komunis tahun ini.
Hampir empat juta orang penduduk di wilayah Hebei, yang mengelilingi Beijing, diarah untuk terus berada di rumah sehingga hujung minggu ketika pegawai-pegawai bergegas untuk membendung jumlah penularan virus yang sedikit.
Dan lebih 13 juta orang penduduk di bandar pelabuhan Tianjian yang berjiran dimestikan untuk menjalani ujian saringan besar-besaran seawal 6 pagi, selepas 51 kes dikesan dan kebanyakannya mengalami gejala ringan.
China menjadi satu-satunya negara ekonomi global yang masih kekal melaksanakan dasar sifar COVID, termasuk mengarahkan penduduk untuk berada di rumah, sekatan perjalanan yang ketat dan ujian besar-besaran yang menjejaskan perkembangan perniagaan.
Beijing telah mengetatkan dasarnya menjelang Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis, yang dijangka akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Mengekang pandemik dilihat sebagai perkara yang diberikan perhatian oleh Presiden Xi Jinping, yang bakal dilantik semula untuk memerintah buat penggal ketiga semasa mesyuarat itu nanti. – AFP
