Sunday, April 28, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Kanser payudara, barah utama penyebab kematian wanita

    LUNDU, 29 JAN – Kanser payudara ialah barah utama yang menyerang kaum wanita serta antara kanser utama yang menjadi penyebab kematian dalam kalangan wanita.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kanser payudara mencatatkan peratusan yang tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding kanser lain dalam kalangan wanita di Malaysia.

    “Ini bermakna, kadar insiden kanser payudara di Malaysia ialah 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.

    “Kanser serviks pula, wanita yang berumur 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan yang paling berisiko.

    “Dua jenis kanser ini ialah kanser reproduktif yang sering menghantui kaum wanita di negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Reproduktif Wanita (WcaRe) di Lundu, Sarawak, hari ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menyantuni orang ramai yang menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan saringan kesihatan di Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) 2023.

    Justeru, katanya kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melancarkan kempen WCaRe bagi meningkatkan kesedaran terutamanya wanita terhadap kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser payudara dan kanser serviks atau pangkal rahim.

    Katanya, usaha itu juga adalah bagi mencapai sasaran matlamat global iaitu sifar insiden kanser serviks menjelang 2070.

    “KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) melalui LPPKN turut menyediakan subsidi bersasar untuk kedua-dua ujian ini bagi mereka yang layak, terutamanya golongan B40.

    “Sejumlah 49 Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara turut melaksanakan Kempen WCaRe serta menyediakan perkhidmatan Ujian Mamogram dan Ujian HPV DNA,” katanya.

    Terdahulu, Nancy melawat ke rumah seorang daripada responden bagi kajian Lapangan Indeks Kesejahteraan Keluarga di Kampung Sileng Melayu, iaitu kajian bersama antara Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Universiti Malaysia Sarawak bagi mengukur tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia.

    Di Sarawak, sejumlah 480 responden daripada keseluruhan 8,000 keluarga terlibat dalam kajian yang mempunyai lapan domain utama. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...