Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Kebajikan, kesejahteraan OKU terus dijaga

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan orang kelainan upaya (OKU), kerajaan secara berterusan telah berusaha untuk membantu golongan OKU.

    Ini untuk memastikan mereka tidak merasa terpinggir atau merasa rendah diri, seterusnya dapat merasakan yang mereka ini dihargai sebagai ahli masyarakat dan berperanan memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

    Perkara tersebut diketengahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) dalam teks perutusannya yang dikeluarkan di sini kelmarin.

    Menurut Yang Berhormat Dato, kerajaan amat menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU dengan mengutamakan kepentingan mereka dalam sistem jaminan sosial negara secara inklusif dan saksama.

    Ini termasuklah memastikan golongan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama dibawah undang-undang negara, tambahnya.

    Sebagai masyarakat yang pemedulian terhadap golongan OKU, masyarakat seharusnya berpegang kepada prinsip bahawa OKU juga mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

    Justeru itu, pemerkasaan golongan OKU dari segi perekonomian termasuk dalam bidang keusahawanan dan bidang pekerjaan perlu dipertingkatkan, jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Bagi memastikan OKU mandiri dan dapat memberi sumbangan kepada negara, golongan ini perlu dibekalkan dengan pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti dan bersesuaian dengan keupayaan mereka.

    Sehubungan itu, golongan ini juga perlu diberikan akses kepada peluang-peluang pekerjaan yang inklusif untuk mencapai potensi dan meningkatkan taraf hidup mereka, jelas beliau.

    Untuk itu, kerjasama dan sokongan Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dalam melibatkan perkongsian daripada golongan OKU dan syarikat-syarikat yang dijadikan contoh dalam pengambilan pekerja OKU semasa penganjuran Pesta Kerjaya 2022 baru-baru ini amat dihargai dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

    Sokongan padu seperti ini amat digalakkan bagi meningkatkan peluang OKU untuk hidup berdikari dalam komuniti, kata Yang Berhormat Dato.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...