BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Kedutaan Filipina di Brunei Darussalam memperingati Ulang Tahun Pengasasan ASEAN ke-55 dengan upacara mengibarkan bendera di perkarangan kedutaan berkenaan, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kedutaan itu, majlis berkenaan menghargai sumbangan-sumbangan mantan presiden Fidel V Ramos, yang telah meninggal dunia pada 31 Julai lalu, kepada ASEAN.
Pada majlis berkenaan, bendera Filipina dikibarkan setengah tiang bersesuaian dengan tempoh perkabungan kebangsaan dan kakitangan kedutaan juga memakai lilitan lengan hitam sebagai penghormatan kepada mendiang bekas presiden tersebut.
Turut hadir semasa majlis itu ialah kumpulan pertama juruterbang yang memulakan Latihan Simulator S-70i Black Hawk Tentera Udara Filipina bagi 2022 di Brunei, Mejar Paul R Durano dan Mejar Christopher G Rabina.
Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Filipina ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio memuji Fidel V Ramos sebagai seorang negarawan ulung yang berkhidmat sebagai presiden ke-12 Republik Filipina dari 1992 hingga 1998.
Mantan presiden itu merupakan anak lelaki bapa pengasas ASEAN, Narciso Ramos, salah seorang diplomat pertama Filipina.
Selepas majlis berkenaan, Puan Yang Terutama juga menyertai ketua-ketua misi negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN pada majlis mengibarkan bendera yang dianjurkan oleh kerajaan Brunei Darussalam sempena Hari ASEAN di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Majlis berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (ASEAN) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dayang Emaleen binti Abdul Rahman Teo.
