Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kenderaan lebih pintar, pantau kesihatan dan keselamatan

    LAS VEGAS – Dengan kesihatan diri menjadi keutamaan yang semakin meningkat di seluruh dunia, industri automotif sedang memburu alat dan aksesori baharu untuk menjadikan kokpit kereta berasa lebih selamat untuk pemandu dan penumpang.

    Barangan yang dipamerkan di Pameran Elektronik Pengguna (CES) termasuk pembersih udara, penggera tempat duduk kereta dan pelindung matahari pintar. Objektifnya adalah untuk mengubah kereta itu ‘menjadi sejenis kepompong kesihatan’, kata Christophe Perillat, timbalan ketua eksekutif Valeo pada sidang akhbar di pameran yang diadakan di Las Vegas.

    Produk pembekal kereta Perancis di CES termasuk peranti untuk memantau fokus pemandu dan penapis udara serta sistem yang membenarkan kawalan iklim diperibadikan untuk penumpang.

    Sistem penapisan syarikat untuk kereta dan bas membersihkan lebih daripada 95 peratus virus, termasuk COVID-19. CabinAir dan Marelli juga mempamerkan sistem pembersihan udara kereta yang boleh dipasang dalam kokpit atau pemegang cawan.

    Tawaran lain oleh Gentex ialah penderia yang terdiri daripada gentian nano yang mampu meninjau udara dan mengenal pasti bahan cemar.

    Tata Pad oleh Filo, penggera tempat duduk pintar untuk anak damit di kereta untuk memberi amaran ibu bapa apabila kanak-kanak ditinggalkan di dalam kenderaan. – AFP

    Teknologi generasi terbaharu datang selepas usaha awal tertumpu pada industri trak, di mana tempoh yang panjang di belakang roda menjejaskan kesihatan fizikal, kata Carla Bailo, ketua Pusat Penyelidikan Automotif.

    Selepas mencipta lebih banyak tempat duduk ergonomik, pembekal kereta mula memfokus pada alatan membantu pemandu mengatasi masalah kesihatan lain seperti isu kardiovaskular dan mengekalkan kesedaran pemandu.

    Sesetengah sistem kereta mengikut keperluan kerajaan contohnya seperti syarikat Itali, Filo mencipta sistem penggera di tempat duduk kanak-kanak mengikut undang-undang negara itu yang bertujuan untuk menghalang kanak-kanak daripada ditinggalkan di dalam kereta pada hari panas.

    Syarikat itu berada di Las Vegas untuk melancarkan teknologi untuk AS, di mana terdapat berpuluh-puluh korban setiap tahun akibat hiperthermia.

    “Dengan kesibukan kehidupan, tekanan, dan lainnya, malangnya, ia berlaku lebih daripada yang kita mahu akui ibu bapa kadang-kadang menjadi pelupa… dan mereka meninggalkan anak-anak mereka dalam kereta,” kata Rudolf Jantos, yang bekerja di pemasaran Filo.

    Sistem berasaskan bluetooth, syarikat akan memberi amaran jika kanak-kanak kekal di tempat duduk apabila pemandu bergerak menjauhi kenderaan. Peranti perlindungan kanak-kanak lain menggunakan kamera, radar, pengesanan getaran dan penderia berat, kata Mike Ramsay, pakar dalam teknologi auto di perundingan Gartner.

    Kebanyakan produk ini bukan jenama baharu, tetapi “menjadi lebih praktikal dari segi kos dan keupayaan,” terima kasih kepada kemajuan dalam algoritma dan pemproses, kata Ramsay.

    Peranti baharu ini juga telah dirangsang oleh peningkatan sistem pemanduan autonomi, yang menggunakan kamera dan radar, kata Jacques Aschenbroich, ketua eksekutif Valeo.

    “Kami sebelum ini memberi tumpuan kepada keselesaan tempat duduk dan pemanasan. Kini pelanggan juga meminta lebih banyak aplikasi keselesaan dan keselamatan visual pada kamera dan radar ini,” katanya.

    Di CES, Bosch menunjukkan ‘Virtual Visor’, skrin lutsinar mengesan kedudukan mata pemandu dengan kamera dalaman dan boleh menggelapkan hanya bahagian cermin depan apabila silauan matahari mengganggu pandangan pemandu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...