Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Korea S, Saudi jalin kerjasama perniagaan

    SEOUL, 17 NOV – Pemimpin perniagaan Korea Selatan akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Seoul pada hari ini untuk membincangkan kerjasama perniagaan, termasuk pembinaan sebuah bandar mega futuristik di Arab Saudi, lapor Yonhap.

    Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics, Lee Jae-yong; Pengerusi Kumpulan SK, Chey Tae-won dan Pengerusi Hyundai Motor Group, Euisun Chung adalah antara pemimpin perniagaan Korea Selatan yang dijadual mengadakan pertemuan dengan putera mahkota di sebuah hotel di pusat bandar Seoul.

    Syarikat Korea Selatan sedang berusaha untuk mengambil bahagian dan memenangi tawaran pembinaan projek AS$500 bilion Arab Saudi, yang dikenali sebagai Neom, sebuah bandar moden dan mampan yang dikendalikan oleh robot dan dikuasakan oleh tenaga solar, di wilayah Tabuk, barat laut Arab Saudi.

    Projek itu diumumkan oleh putera mahkota semasa persidangan pelaburan di Riyadh pada 2017.

    Pada Jun, konsortium Samsung C&T Corp., unit pembinaan Kumpulan Samsung dan Hyundai Engineering & Construction Co., memenangi sebahagian kontrak gerudi dan terowong projek Neom.

    Walaupun jumlah sebenar kontrak itu tidak diumumkan, ia dianggap antara projek infrastruktur pengangkutan dan utiliti terbesar di dunia.

    Semasa lawatan, kedua-dua kerajaan dan syarikat, termasuk konglomerat terkenal Seoul, telah memeterai kira-kira 20 perjanjian daripada bidang pertanian kepada sistem kereta api.

    Antara perjanjian yang dimeterai adalah pelaburan Saudi dalam projek kilang penapis Korea Selatan Shaheen S-OIL, untuk membina kilang pengeluaran petrokimia di Korea Selatan bernilai AS$6.7 bilion. – Bernama/AFP

    Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kiri), bercakap dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol (dua kanan) semasa pertemuan di kediaman presiden di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...