Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kotak bawa cawan mudah alih

    Oleh Amri HTZ

    Memulakan waktu pagi dengan minuman panas dipercayai boleh membantu sistem penghadaman, memberi ketenangan, mengurangkan berat badan dan sebagainya. Mengekalkan minuman pilihan agar sentiasa dalam keadaan panas memerlukan cawan khusus seperti mug flask.

    Namun ukurannya yang tidak pelbagai selalunya menjadi masalah untuk menempatkannya ketika membawanya ke mana-mana terutamanya ketika dalam kereta. Penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan cara mereka kotak khas untuk membawanya yang diperbuat daripada kayu. Ikuti projek DIY minggu ini untuk merekanya dengan beberapa langkah mudah.

    Barangan penting

    Sebelum memulakan proses rekaan, terlebih dahulu awda perlu menyediakan barangan seperti pita pengukur, kepingan papan, mesin milter atau gergaji tangan, mesin orbital atau kertas pasir, mesin jig, paku, skru atau nail gun, tukul, gam kayu, ketam kayu, pita perekat dan mesin gerudi.

    Cukup mudah dan ringkas

    Papan yang telah disediakan terlebih dahulu perlu diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu. Langkah ini tertakluk kepada keadaan permukaan papan yang digunakan di mana jika ianya sudah dalam keadaan rata, maka langkah meratakannya tidaklah perlu dilakukan.

    Bagi memastikan permukaan papan sangat halus, awda juga perlu menggosoknya menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit, diikuti dengan 600 grit dan diakhiri dengan 800 grit atau 1,000 grit. Melakukannya sebelum langkah pemotongan akan memudahkan awda memandangkan ianya belum lagi dibentuk menjadi kotak yang setentunya akan sedikit menyukarkan dengan terdapatnya sudut-sudut yang sempit.

    Mengekalkan kedudukan cantuman menggunakan nail gun.
    Keseluruhan permukaan cantuman perlu disapukan gam kayu bagi memastikan ianya cukup kukuh.
    Meratakan permukaan kayu menggunakan mesin kertas pasir merupakan langkah yang cukup mudah dan menjimatkan waktu.
    Tandakan bahagian tengah kotak sebelum mengekalkan kedudukan kayu bahagian pemegang.
    Kayu bahagian pemegang yang telah dipotong menggunakan mesin jig.

    Setelah menggosokkan permukaan kayu, potong papan tersebut dengan ukuran 5.25 inci untuk dua keping, 8.5 inci untuk dua keping, 9.75 inci sekeping, dan papan 4” lebar dan 13 inci panjang untuk bahagian pemegang kotak.

    Permukaan potongan yang kasar terhasil daripada proses pemotongan kemudiannya perlu dihaluskan menggunakan kertas pasir.

    Sebelum mencantumkan secara kekal menggunakan gam kayu, potongan-potongan kayu yang tersedia terlebih dahulu perlu dicantumkan secara sementara (dry fit).

    Langkah ini adalah bagi memastikan kesemua potongan dalam keadaan selaras ketika ianya dicantumkan. Jika mencantumkan secara sementara sukar untuk dilakukan sendiri, minta bantuan seseorang untuk melakukannya namun cara yang paling mudah ketika dilakukan seorang diri ialah dengan cara melekatkannya menggunakan pita perekat.

    Cukup pasti dengan potongan yang dilakukan sempurna, awda boleh memulakan Langkah mencantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu.

    Sapu keseluruhan permukaan cantuman agar ia cukup kukuh ketika ianya mengering nanti. Jika terdapat ruangan yang tidak disapukan dengan mencukupi, ia berisiko gagal terutama jika berdepan dengan kelembapan dan haba.

    Selain itu, gam kayu yang digunakan perlu dititik beratkan dengan mengelakkan menggunakan kualiti rendah. Pilih gam yang mampu bertahan ketika berdepan dengan kelembapan dan elemen cuaca.

    Hal ini bagi memastikan ketika cawan yang diletakkan secara tidak sengaja tertumpah dan diserap oleh kayu sekali gus menyebabkan gam digunakan gagal.

    Haba terutamanya daripada matahari juga boleh menyebabkan kayu berubah sifat sama ada mengembang atau mengecut dan jika gam yang digunakan tidak kukuh akan menyebabkan cantuman terbuka.

    Mula-mula letakkan kayu berukuran 9.75 inci pada permukaan meja kerja di mana kayu tersebut akan dijadikan bahagian bawah kotak. Ini diikuti dengan kayu berukuran 5.25 inci pada bahagian kedua-dua bahagian hujung dan diakhiri dengan kayu berukuran 8.5 inci pada bahagian sisi.

    Terdapat beberapa cara untuk mengekalkan kedudukan cantuman sama ada menggunakan paku, skru, nail gun atau hanya menggunakan pengepit kayu.

    Cara yang dipilih perlulah mengikut kesukaan masing-masing. Bagi mereka yang tidak sukakan cantuman dikekalkan menggunakan paku dan skru kerana terlalu menonjol, penggunaan nail gun atau hanya pengepit kayu merupakan pilihan.

    Ketika menggunakan pengepit kayu, biarkan alat tersebut menahan cantuman selama beberapa jam tertakluk kepada arahan daripada pengilang mengenai tempoh gam mengering dan boleh dikendalikan. Bagi memastikannya cukup kukuh, biarkan cantuman mengering selama 24 jam.

    Sementara menunggu gam mengering, gunakan masa terluang untuk mereka pemegang kotak. Selain memberikan keunikan kepada rekaan, pemegang kotak yang akan direka juga berfungsi untuk memudahkan awda mengangkat kotak berisi cawan ke mana sahaja dengan mudah.

    Kayu berukuran 4 inci lebar dan 13 inci Panjang akan ditebuk bagi bahagian pemegang menggunakan mesin jig. Namun sebelum itu bagi membolehkan mesin jig boleh digunakan, tebuk bahagian tengah kayu (2 inci dari bahagian hujung) menggunakan mata gerudi.

    Luas ruangan pemegang tersebut perlulah sesuai dengan ukuran jari awda dan tidak terlalu sempit. Terlalu besar juga akan memberi impak kepada hasil akhir di mana ia akan terlalu menonjol dan boleh mencacatkan rekaan.

    Langkah terakhir ialah mencantumkan kayu bahagian pemegang tersebut pada bahagian tengah kotak yang telah direka.

    Dengan mencantumkannya, kini kotak yang telah dihasilkan sebelumnya boleh menempatkan dua cawan sesuai untuk mereka yang hendak menikmati minuman bersama teman istimewa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...