Sunday, May 19, 2024
33 C
Brunei

    -

    Kuih bakar pandan sajian istimewa kenduri rakyat

    MELAKA, – Kuih bakar pandan yang merupakan pencuci mulut tradisional negeri ini, adalah antara hidangan istimewa disajikan kepada pengunjung Kenduri Rakyat sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

    Sebanyak 1,400 keping kuih bakar pandan disediakan oleh dua pengusaha tempatan menggunakan cara moden iaitu dibakar dalam ketuhar serta kaedah tradisional menggunakan arang.

    Pengusaha Kuih Bakar Pandan, MJ Asrul Effendi Abd Aziz, 45, dari Kampung Pulau, Masjid Tanah berkata beliau perlu menyediakan sebanyak 1,000 keping kuih bakar pandan basah secara berperingkat di lokasi program bermula kira-kira 7.30 pagi.

    Beliau berkata perusahaan kuih bakar pandan itu telah dimulakan sejak 11 tahun lepas menggunakan resepi warisan arwah ibunya, Zainon Tamby.

    “Kuih bakar pandan yang kami hasilkan dipilih sebagai produk ‘signature’ Melaka untuk tahun ini oleh kerajaan negeri dan keistimewaannya ialah ia menggunakan warna hijau asli daripada daun pandan tanpa pewarna tambahan.

    Pengusaha Kuih Bakar Pandan, MJ Asrul Effendi Abd Aziz menunjukkan kuih tradisional Melaka untuk dihidangkan kepada pengunjung program Kenduri Rakyat pada sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). – Bernama
    MJ Asrul Effendi Abd Aziz tekun menyiapkan kuih tradisional Melaka itu dihidangkan kepada pengunjung program Kenduri Rakyat pada sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM). – Bernama

    “Bagaimanapun kuih ini tidak tahan lama, hanya sekitar satu hari sahaja sebab itu kita buat kuih ini mengikut tempahan pelanggan untuk mengekalkan kualitinya,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, pengusaha Kuih Bakar Arang Cik Seri, Rohayah Hussin, 60, dari Sungai Putat berkata beliau menyediakan 400 keping kuih bakar untuk program Kenduri Rakyat itu dengan mengekalkan cara tradisional menggunakan dapur arang untuk aroma lebih harum.

    Katanya kuih itu juga menggunakan bahan asli dan sedikit jintan, selain tahan hingga seminggu untuk dimakan.

    “Saya telah lebih dua tahun meniaga dan hari ini dijemput untuk menyediakan kuih bakar itu untuk menu yang akan dihidangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk minum petang pada Kenduri Rakyat.

    “Rasa gembira dan teruja dapat menyediakan kuih bakar pandan ini untuk pengunjung yang hadir dan persiapan telah dibuat sejak malam tadi,” katanya. 

    Selain itu, makanan lain yang menjadi tarikan pada program itu ialah mi goreng lambak yang dimasak dalam kuali besar serta dihidang panas-panas kepada pengunjung.

    Sementara itu, pengusaha mi goreng, Razali Md Esa, 51, dari Alai berkata beliau perlu menyediakan 320 kilogram mi kuning untuk dijamu kepada kira-kira 3,000 tetamu pada program berkenaan bermula 2 petang tadi.

    “Saya memang selalu diberi peluang untuk menyediakan makanan kepada pengunjung untuk program besar dan saya memang menjual mi dan kuetiau goreng di pasar malam.

    “Rasa teruja kerana ini kali pertama dapat sertai program yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

    “Saya berharap makanan yang disediakan ini dapat memberi kepuasan kepada pengunjung,” katanya.

    Pada Kenduri Rakyat itu, lebih 10 jenis makanan dan minuman disajikan kepada pengunjung antaranya lempeng, ubi rebus, asam pedas tetel, kuih serabai, capati, kari kambing, cekodok, apam balik dan teh tarik selain menu popular Melaka iaitu ‘coconut shake’ dan ‘mango float’.

    Kenduri Rakyat antara program utama yang dianjurkan sempena Jelajah AKM siri ke-11 itu, selain pelbagai pengisian menarik lain selama tiga hari. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...