Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Kurnia peribadi KDYMM lambang tanda kasih kepada rakyat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Raja yang berjiwa rakyat, raja yang pemeduli dan raja yang penyayang, antara pemerian yang disuarakan oleh orang awam berkaitan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemimpin yang adil lagi bijaksana dalam pemerintahannya.

    Sejak pemerintahan Baginda Sultan, pelbagai usaha telah pun dilaksanakan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan setiap lapisan rakyat jelata dan penduduknya.

    Kita sering ditanya oleh masyarakat luar, kenapa rakyat Brunei Darussalam terlalu menyayangi raja mereka, apakah istimewanya Baginda di mata rakyat Brunei?

    Sikap pemedulian dan kasih sayang Baginda Sultan kepada rakyat jelata tertera jelas, inilah nilai-nilai ketulusan yang dicurahkan selama ini sehingga sentiasa dekat di hati dan jiwa seluruh lapisan masyarakat di negara ini dan menjadi ristaan sepanjang zaman.

    KURNIA PERIBADI TANDA KASIHKAN RAKYAT

    Sudah menjadi kelaziman, setiap tahun, puluhan ribu orang menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di mana pada tahun ini merupakan kali ke-15 ia diadakan yang sememangnya bertujuan untuk membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu di negara ini.

    Awang Muhammad Azril semasa ditemu bual oleh Media Permata kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Norajalinah menemani anaknya di bawah golongan OKU, Dayang Nur Darina selaku penerima kurnia peribadi. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Md Jin turut mengongsikan bahawa dengan adanya kurnia yang diberikan oleh Baginda Sultan itu begitu berharga bagi dirinya terutamanya bagi menampung perbelanjaan keperluan kesihatan beliau. Awang Muhammad Azril semasa ditemu bual oleh Media Permata kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nurul Nadhirah yang hadir untuk mendampingi anaknya, Awang Muhd Asyraf Arsyad yang turut menerima kurnia peribadi pada majlis berkenaan. Awang Md Jin turut mengongsikan bahawa dengan adanya kurnia yang diberikan oleh Baginda Sultan itu begitu berharga bagi dirinya terutamanya bagi menampung perbelanjaan keperluan kesihatan beliau. Awang Muhammad Azril semasa ditemu bual oleh Media Permata kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Golongan yang menerima kurnia peribadi berkenaan terdiri daripada orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan bulanan bagi membantu golongan ini meraikan hari kemenangan dengan penuh rasa kegembiraan dan kecukupan.

    Penerima-penerima tersebut bukan sahaja terdiri daripada mereka yang berada di Daerah Brunei dan Muara, malah dari Daerah Tutong, Belait dan Temburong. Berkenan berangkat bagi menyempurnakan pengurniaan tersebut setiap tahun ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku wakil peribadi Baginda.

    Setentunya, kita di bumi Brunei Darussalam ini amat bertuah dengan adanya seorang raja yang dermawan yang sentiasa memeduli kebajikan rakyat dan penduduknya, serta kurnia Baginda itu juga diberikan kepada mereka yang berlainan agama dan bangsa.

    KURNIA PERIBADI TERSIMPAN MAKNA TERDALAM

    Kurnia peribadi KDYMM ini memberi makna yang sangat berharga kepada rakyat dan penduduknya, khususnya golongan tertentu dalam membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Syawal, di samping pemberian kurnia peribadi ini juga berupaya untuk menampung perbelanjaan seharian mereka, selain daripada sebagai simpanan untuk kegunaan yang lainnya.

    Begitulah yang diluahkan oleh salah seorang penduduk dari Kampung Bukit Sulang Lamunin, Daerah Tutong yang terpilih menerima kurnia peribadi Baginda Sultan di bawah golongan fakir miskin, Awang Muhammad Azril bin Abdullah Ayeh @ Lampas Anak Ayeh, semasa berkesempatan ditemui penulis pada majlis penyerahan kurnia peribadi Baginda Sultan bersempena dengan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.

    “Alhamdulillah, dengan pemberian kurnia ini memang sukar digambarkan melalui kata-kata sepenuhnya melainkan rasa syukur kerana mempunyai seorang raja yang prihatin,” ujarnya yang kini berusia 52 tahun.

    KURNIA BEGITU BERNILAI DEMI KESIHATAN

    Sementara itu, Awang Md Jin bin Haji Japar, 60, yang kini selaku penerima bantuan di bawah Perkhidmatan Kebajikan Perubatan dari Kementerian Kesihatan sekali gus menjadi salah seorang penerima kurnia peribadi KDYMM turut berkesempatan mengongsikan bahawa dengan adanya kurnia yang diberikan oleh Baginda itu begitu berharga bagi dirinya terutamanya bagi menampung perbelanjaan keperluan kesihatan seperti mesin perubatan oksigen di mana kini beliau sedang menghadapi masalah kesihatan jantung dan strok.

    “Dalam suasana masyarakat Islam menunaikan ibadah puasa dan seterusnya menanti hari lebaran, sejujurnya dari lubuk hati saya begitu terharu Baginda Sultan begitu bermurah hati dalam membantu rakyat dan penduduknya yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa,” tambahnya yang turut menjelaskan ini merupakan kali pertama beliau menerima kurnia peribadi tersebut.

    Di akhir pertemuan, beliau yang berasal Kampung Kupang, Daerah Tutong juga turut mengungkapkan doa semoga Baginda Sultan dan kerabat diraja akan sentiasa sihat walafiat dan juga menjunjung kasih atas pengurniaan kurnia peribadi Baginda ini dan akan bersederhana berbelanja dan hanya akan berbelanja mengikut keperluan sahaja.

    AMANAH MANFAAT SEBAIKNYA KURNIA PERIBADI

    Kesyukuran juga jelas terpancar pada wajah Dayang Norajalinah binti Awang Anak selaku ibu yang menemani anaknya di bawah golongan orang kelainan upaya (OKU),
    Dayang Nur Darina @ Nurin binti Muhd Darin yang menerima kurnia peribadi KDYMM itu turut mengongsikan perasaan mewakili anaknya.

    “Alhamdulillah, atas kurnia Baginda Sultan ini, sedikit sebanyak dapat juga membantu anak saya untuk membeli baju persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang ini dan selebihnya ia semestinya digunakan bagi pembelian keperluan-keperluan harian yang lain seperti susu, lampin dan sebagainya,” jelasnya

    “Anak saya yang kini berumur 22 tahun dan sudah menerima kurnia peribadi KDYMM sejak di usia kecil lagi secara beturut-turut setiap tahun dan mudah-mudahan rezeki ini akan berterusan diterima di masa akan datang,” tambahnya lagi yang berasal dari Kampung Kupang, Daerah Tutong.

    Turut berkesempatan ditemui penulis, Dayang Nurul Nadhirah binti Morsidi yang hadir untuk mendampingi anaknya, Awang Muhd Asyraf Arsyad bin Abdullah Ahmad Asrul yang turut menerima kurnia peribadi KDYMM pada majlis tersebut antaranya mengongsikan tahun ini merupakan tahun keenam dirinya menemani anak bagi menerima kurnia tersebut.

    “Perasaan saya amatlah terharu dan bersyukur kerana mempunyai raja yang sangat mengasihi rakyatnya terutama mereka yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan seperti anak-anak yatim.”

    “Dengan rezeki pemberian kurnia peribadi KDYMM ini akan digunakan bukan sahaja untuk persiapan hari lebaran anak saya ini namun nanti ia juga digunakan untuk keperluan pembelian barangan sekolah,” ujarnya yang menetap di Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...