SEOUL, 28 SEPT – Korea Utara hari ini melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat, menurut kenyataan tentera Korea Selatan, beberapa hari selepas Pyongyang melancarkan ujian terbaharu menjelang lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris ke Korea Selatan.
Pelancaran ujian tersebut dibuat selepas agensi pengintipan Seoul memberi amaran bahawa Pyongyang semakin hampir untuk menjalankan satu lagi ujian nuklear.
Tentera Korea Selatan berkata ia telah ‘mengesan dua buah peluru berpandu balistik jarak dekat dilepaskan dari kawasan Sunan di Pyongyang’.
“Tentera kami telah meningkatkan pemantauan dan dalam keadaan siap sedia bagi kerjasama rapat dengan AS,” menurut Ketua Turus Bersama Seoul dalam satu kenyataan.
Pengawal pantai Jepun turut mengesahkan kemungkinan peluru berpandu dilancarkan, memetik mak-lumat dari kementerian pertahanan Jepun, dan memberi amaran kepada kapal-kapal untuk berjaga-jaga.
Pelancaran terbaharu dibuat selepas Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu jarak dekat pada Ahad lalu.
Harris bakal tiba di Seoul esok bagi lawatan ringkas, di mana beliau akan melawat sempadan yang dikawal ketat antara Korea Utara dan Korea Selatan.
Rumah Putih juga berkata lawatan Harris bertujuan untuk menunjukkan kepentingan persahabatan dengan Seoul.
Washington adalah sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 di Korea Selatan bagi membantu negara itu daripada ancaman Korea Utara.– AFP
