Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Lawatan tingkatkan pengetahuan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diketuai oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin telah mengadakan Perjumpaan Muhibah ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU, hari ini.

    Mengalu-alukan kehadiran rombongan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Setiausaha Tetap, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji
    Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di bawah KHEU.

    Perjumpaan Muhibah berkenaan merupakan forum tahunan dan sebagai inisiatif mempertingkatkan pengetahuan ahli-ahli MMN tentang perkembangan, pencapaian dan hasil yang telah dilaksanakan oleh kementerian sepanjang tahun di samping mendapatkan gambaran jelas tentang cabaran-cabaran yang dihadapi kementerian ini dalam menanganinya.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berkata bahawa Perjumpaan Muhibah berkenaan adalah untuk sama-sama melihat perkembangan dan perkhidmatan KHEU yang telah berjalan selama ini.

    Menurut beliau, banyak sudut dalam bidang-bidang perkhidmatan agama itu memerlukan pembaikan, peningkatan khasnya dalam urus tadbir, sebagaimana yang KHEU sentiasa usahakan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa Perjumpaan Muhibah bersama rombongan ahli-ahli MMN di KHEU, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai bersama rombongan ahli-ahli MMN yang berkunjung ke Jabatan Hal Ehwal Syariah.
    Perjumpaan Muhibah KHEU bersama rombongan ahli-ahli MMN yang berlangsung di Bangunan Tambahan KHEU, kelmarin.
    Ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Amran.

    Maka pandangan atau buah fikiran daripada ahli-ahli MMN adalah mustahak untuk diketahui sejelasnya, tambah Yang Berhormat Pehin.

    Beliau memberi contoh dalam perkara zakat iaitu kutipan dan agihan. Dari sudut pandang KHEU yang melaksanakannya sudah mendapati ia perlu difikirkan, khususnya mengenai cara atau kaedah kutipan zakat pada masa ini berbanding dengan jumlah pemohon yang terus meningkat.

    “Pada pengamatan kami yang menguruskannya sudah ada beberapa fikiran untuk menghadapi isu itu. Maka dalam kesempatan ini kami harapkan ada input atau masukan-masukan pemikiran dalam perjumpaan kita ini untuk menjadi sumber inspirasi dalam kami melaksanakan apa yang terbaik,” ujar beliau.

    Perjumpaan berkenaan juga mendengar ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Amran yang berharap dengan perjumpaan berkenaan dapat memberikan impak yang baik dalam memeduli apa jua permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat yang berurusan dengan KHEU.

    Seterusnya taklimat mengenai KHEU disampaikan oleh Haji Mohammad Rosli sebelum diteruskan dengan sesi dialog yang memfokuskan tiga bidang strategik dengan mengambil perhatian kepada meningkatkan kutipan zakat, memperluaskan dan mengemas kini dasar guna sama bangunan dan kemudahan sekolah rendah dan menengah bagi persekolahan agama; dan memperkasa kualiti para Daie di Negara Brunei Darussalam.

    Pada sebelah petang pula, sesi perjumpaan diteruskan dengan lawatan rombongan ke Jabatan Hal Ehwal Syariah di ibu negara di mana ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Semasa lawatan itu, taklimat mengenai fungsi, bidang tugas dan tanggungjawab daripada Bahagian Kawalan Makanan Halal dan Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah disampaikan oleh Dayang Syifa Hannani@Suhana binti Haji Abdul Hamid.

    Lawatan rombongan berakhir dengan menyaksikan pameran di Ruang Legar Bangunan KHEU (Lama).

    Antara objektif utama Perjumpaan Muhibah berkenaan adalah sebagai wadah untuk percambahan minda serta bertukar-tukar buah fikiran, dan mempertingkatkan kesedaran awam untuk sama-sama menanai cabaran perkhidmatan agama di Negara Brunei Darussalam melalui pendekatan seluruh negara.

    Ia juga sebagai forum perbincangan untuk berkongsi maklumat dan perkembangan terkini mengenai inisiatif (aktiviti atau program) yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh KHEU serta berkongsi mengenai perkembangan, pencapaian dan hasil yang telah dilaksanakan oleh kementerian termasuk pelan pemulihan pasca COVID-19 selain menjalin dan membangun ukhuwah yang lebih erat antara kementerian dengan ahli-ahli MMN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...