Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Lipat ganda amal ibadat di penghujung Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dalam bulan Ramadan ini terdapat di dalamnya satu malam yang mempunyai keberkatan dan kelebihan dari seribu bulan, lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir, iaitu Lailatul qadar.

    Seperti yang kita ketahui, sebagai umat Islam hendaklah melipat-gandakan lagi usaha untuk merebut kelebihan malam tersebut dengan mengejar amal ibadat sebanyak mungkin.

    Khatib menjelaskan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Melipatgandakan amal ibadat di penghujung Ramadan’.

    Katanya lagi, “Lailatul qadar merupakan satu malam yang paling utama di antara malam yang lain, malam di mana Allah mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang beribadat dengan penuh keikhlasan sertai mengharapkan keredaan Allah.”

    “Banyak riwayat mengatakan Lailatul qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan, besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam 29,” jelasnya.

    Selain mengingatkan untuk merebut peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa bagi memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa yang telah dilakukan.

    Ramadan juga adalah bulan istimewa, jelasnya, kerana ganjaran pahala melakukan amal ibadat pada bulan ini akan dilipatgandakan.

    Di samping itu, bulan Ramadan juga menjadi lebih istimewa kerana di dalamnya telah berlaku salah satu peristiwa yang paling bersejarah dalam kalangan umat Islam iaitu turunnya Al-Quran kepada Baginda Rasulullah S.A.W.

    Khatib dalam khutbahnya seterusnya mengongsikan di mana peristiwa itu dikenali sebagai ‘Nuzul Al Quran’ dan ianya telah berlaku pada 17 Ramadan di mana penurunan ini berlaku dengan tujuan untuk membuktikan keagungan Allah.

    Al-Quran merupakan salah satu mukjizat agung yang diberikan kepada Rasulullah S.A.W, dan Al-Quran juga diturunkan kepada Rasulullah S.A.W secara beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibril alaihissalam selama 23 tahun iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah, dan 10 tahun di Madinah.

    Katanya lagi, “ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada surah Al-‘Alaq”.

    Khatib seterusnya menambah yang mana membaca Al Quran merupakan tuntutan kepada setiap muslim sepanjang masa, sama ada pada bulan Ramadan atau bulan lain, namun bulan Ramadan mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri apabila dikaitkan dengan Al-Quran, ini kerana bulan Ramadan dimuliakan dengan turunya Al-Quran di dalamnya.

    Apabila membaca Al Quran, jelas Khatib lagi, kita akan menemui bermacam-macam jenis ayat dan antaranya ayat yang memaparkan kisah umat terdahulu dengan gaya bahasa yang cukup menarik seperti kisah perjalanan hidup Nabi Yusuf Alaihisalam, kisah Ashabul Kahfi dan sebagainya.

    Apabila Al-Quran memaparkan sesuatu kisah sudah tentu ia mempunyai pengajarannya, jelasnya dan ini bertujuan bukan sahaja untuk mengetahui kisah tersebut di sudut penceritaan sahaja, tapi tujuan asas adalah untuk menggambarkan minda pembaca Al-Quran mengenai kotornya syirik, maksiat dan hukuman Allah terhadap mereka yang melanggar perintahnya.

    Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengingatkan kepada perkara yang berhubung dengan keimanan, pertolongan dan kebesaran Allah terhadap hambanya yang ikhlas dan seterusnya mengingatkan manusia kepada kematian dan perkara yang berlaku selepasnya.

    Apabila membaca Al-Quran dan bertemu dengan kisah tersebut, wajar bagi kita merenung dan mentadabur ayat-ayat yang dibaca untuk melihat bentuk pengajaran yang terdapat dalam kisah tersebut.

    “Dengan itu, barulah Al-Quran menjadi petunjuk dan pembimbing dalam kehidupan seorang muslim, dan semoga memahami hakikat kehidupan melalui kisah yang dibaca dalam Al-Quran dan memohon agar dimasukkan dikalangan orang yang berjaya seperti golongan yang telah dikisahkan kejayan mereka di dalam Al-Quran,” jelasnya.

    – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...