Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Sandro Tonali didakwa oleh FA Inggeris kerana melanggar peraturan pertaruhan

    LONDON, 29 MAC – Pemain tengah Newcastle Sandro Tonali telah didakwa melanggar peraturan pertaruhan bola sepak Inggeris, kata Persatuan Bola Sepak, kelmarin.

    Tonali sudah pun menjalani hukuman larangan 10 bulan yang dikeluarkan oleh persekutuan bola sepak Itali kerana mempertaruhkan pasukan yang dimainkannya, yang menyebabkan beliau tidak beraksi sejak Oktober.

    Beliau mungkin menghadapi lebih banyak masalah selepas FA berkata beliau melanggar peraturannya sebanyak 50 kali dengan didakwa meletakkan pertaruhan pada perlawanan dari 12 Ogos hingga 12 Oktober tahun lalu.

    Pada 12 Oktober, Tonali dihantar pulang dari kem latihan Itali selepas dimaklumkan oleh polis tentang penglibatannya dalam siasatan pertaruhan.

    Tonali yang berusia 23 tahun menyertai Newcastle dari AC Milan Julai lalu dengan bayaran yang dilaporkan bernilai sehingga 60 juta pound (AS$76.3 juta). Tetapi beliau hanya membuat 12 penampilan untuk kelab Liga Perdana Inngeris itu selepas terperangkap dalam siasatan pertaruhan yang lebih meluas yang menyaksikan pemain tengah Juventus Nicolò Fagioli digantung selama tujuh bulan.

    Tonali memberitahu pendakwa raya bahawa beliau bertaruh pada Milan dan Brescia ketika beliau bermain untuk kelab-kelab itu. Ejennya, Giuseppe Riso, mengakui anak guamnya mempunyai masalah perjudian.

    Tonali bersetuju dengan rundingan pengakuan dengan persekutuan Itali yang termasuk terapi untuk ketagihan perjudian.

    Larangannya berakhir pada 14 Julai.

    Newcastle berkata tahun lalu ia akan memberikan Tonali dan keluarganya sokongan penuh.

    Tonali ialah pemain Liga Perdana terbaru yang didakwa melanggar peraturan pertaruhan. FA berkata Tonali mempunyai masa sehingga 5 April untuk menjawab pertuduhan itu. – AP

    Tonali telah didakwa melanggar peraturan pertaruhan bola sepak Inggeris, kata Persatuan Bola Sepak, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...