Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Liza Abdullah pastikan ‘Mak Leha’ kekal relevan

    Pendukung watak Mak Leha menerusi drama fenomena, 7 Hari Mencintaiku 3, Liza Abdullah, 58, tercabar dalam memastikan watak yang banyak membawa tuah kepada kerjanya itu terus relevan.

    Kembali menemui penonton menerusi drama sekuel ketiga pada 16 April ini, Liza berharap peminat menonton dahulu drama 35 episod, sebelum membuat andaian terhadap watak antagonis itu.

    Liza berkata, dia tidak menyangka naskhah tulisan Siti Rosmizah Semail itu mendapat sambutan sehingga berjaya disambung hingga musim ketiga.

    “Sejujurnya, saya berdebar kerana tidak menyangka drama 7 Hari Mencintaiku berjaya melangkah hingga musim ketiga. Apabila disambung, ia tentu mencabar saya dalam memastikan watak Mak Leha terus relevan.

    “Karya Siti Rosmizah pula memang cukup mencabar. Setiap babak umpama berlakon teater. Sebelum melakonkan setiap babak, kami dikehendaki menjalani latihan seperti teater.

    Liza Abdullah tercabar dalam memastikan watak Mak Leha yang banyak membawa tuah kepada kerjanya itu terus relevan. – Agensi

    “Jika satu babak membabitkan tujuh atau lapan pelakon, kami perlu ulangi latihan daripada mula. Jadi, banyak tenaga perlu digunakan sepanjang menjalani penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini.

    “Selain itu, ia juga membabitkan penggunaan vokal tinggi dan rendah. Dalam bulan puasa, tentu ia sangat mencabar buat kami,” katanya kepada media.

    Enggan mengulas lanjut mengenai watak Mak Leha, Liza yang pernah menggenggam trofi Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 dan Watak Antagonis Terbaik menerusi Anugerah Drama Sangat, tahun lalu berharap penonton nampak kelainan pada drama itu.

    “Janganlah terlalu mudah membuat kesimpulan, sebaliknya tonton terlebih dahulu dari awal hingga akhir sebelum membuat spekulasi.

    “Saya tak pernah sangka drama ini disambung sehingga musim ketiga dan watak Mak Leha diterima dengan sangat baik. Mulanya, saya teka penonton benci watak Mak Leha, tetapi ia berlaku sebaliknya.

    “Jika bercakap soal kelainan, pasti ada penambahbaikan dilakukan untuk musim terbaru. Banyak kelainan dapat dilihat untuk menjadikan naskhah ini lebih menyeronokkan,” kata Liza.

    Liza berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan bakal membawa pulang trofi disebabkan tuah watak Mak Leha.

    Katanya, dia tidak pernah mengimpikan menggenggam trofi ketika diberi tanggungjawab membawa watak Mak Leha.

    “Bagi saya, dua kemenangan ini bukanlah kejayaan peribadi. Sebaliknya, ia adalah kemenangan yang hadir daripada semangat kerja berpasukan.

    “Tanpa rakan sepasukan tidak mungkin saya mampu menggenggam dua trofi dalam usia senja,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...