Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Majlis rai kepulangan kontinjen pengaman

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seramai 30 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah menyertai penugasan selama 13 bulan bersama Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT) di bawah misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) telah diraikan dalam majlis Doa Kesyukuran, hari ini.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kontinjen berkenaan yang diketuai oleh Mejar Zulazri bin Gapor telah selamat pulang ke tanah air pada 3 Disember lalu.

    Majlis keagamaan yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison itu telah dihadiri oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama ABDB, pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai tentera dan awam serta kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Kenyataan menyatakan, majlis tersebut diselaraskan dengan acara Halaqah Jumaat mingguan Kementerian Pertahanan dan ABDB iaitu dimulakan dengan Sayyidul Istighfar, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, tazkirah, Dikir Marhaban, dan penyampaian sijil kepada pegawai dan anggota kontinjen.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan sembahyang sunat Dhuha. ABDB telah mengikuti misi pengaman UNIFIL selama lebih satu dekad iaitu sejak 2008 dalam memberi komitmen yang berterusan ke arah keamanan dan kestabilan antarabangsa di bawah Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701 (UN Resolution 1701; 2006).

    Misi luar negara itu juga selaras dengan aspirasi yang telah digariskan dalam Kertas-kertas Putih Pertahanan Negara Brunei Darussalam. Misi pengaman ini telah menghasilkan pelaburan yang besar, bukan sahaja bagi imej ABDB dan anggota yang terlibat, malahan juga bagi negara dalam konteks bidang diplomasi pertahanan.

    Pada 3 September 2021, ABDB telah meneruskan penempatan anggotanya ke misi pengaman UNIFIL di bawah kontinjen MALBATT 850-9.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan sijil kepada salah seorang anggota kontinjen ABDB.
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan serta anggota ABDB yang diraikan dalam Majlis Doa Kesyukuran, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...