Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Makanan jalanan jadi pilihan golongan pendapatan rendah

    ANKARA – Ketika restoran di Turki menaikkan harga mereka di tengah-tengah inflasi berleluasa, orang yang kekurangan wang beralih kepada makanan jalanan yang lebih murah untuk mengisi perut mereka.

    Pusat bandar Kizilay, yang terkenal sebagai hab makanan jalanan dan syurga kebab di ibu negara Ankara, menarik pelanggan yang semakin meningkat berbanding sebelum ini.

    “Sebab kami datang ke sini adalah kerana ia lebih murah daripada yang lain, dan ia juga sedap. Kami pelajar, lebih suka kedai makan murah,” Mustafa Yilmaz, seorang pelajar berusia 19 tahun, memberitahu Xinhua di sebuah kedai doner di Kizilay.

    Di Kizilay, juga hab untuk pusat pembelajaran persendirian, makanan jalanan yang murah merupakan pilihan paling menarik untuk pelajar yang datang untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan kemasukan universiti.

    “Ini adalah alternatif yang lebih murah untuk kami. Contohnya, kami membayar 50 lira (AS$3.5) di sini untuk dua orang, tetapi kami akan membayar 200 hingga 300 lira (AS$14 hingga AS$21) di sebuah restoran,” kata Yilmaz.

    Orang ramai menunggu giliran untuk membeli makanan segera di Ankara, Turki. – Xinhua
    Seorang pelanggan menikmati hidangan jalanan Turki. – Xinhua

    Turki kaya dengan makanan jalanan yang terdiri daripada semua jenis makanan, yang paling terkenal ialah kebab doner.

    Doner dinamakan sempena tempat pembakar berputar yang digunakan untuk memasak daging lembu, kambing atau ayam yang disusun tegak, yang kemudian dipotong jadi kepingan nipis.

    Satu lagi makanan jalanan Turki yang popular ialah kerang panggang dan sandwic filet ikan, menonjol sebagai pilihan yang lazat dan mudah dimakan.

    “Sandwic filet ikan juga merupakan salah satu makanan jalanan yang hebat. Ia segar dan harga di sini berpatutan,” kata Kubra Zeynep Sirin, pelajar kolej berusia 20 tahun dalam jurusan anestesiologi, memberitahu Xinhua.

    ‘Midye tava’ atau kerang bakar ialah makanan ringan yang rangup disemat pada sebatang kayu.

    Kerang dibalut dengan adunan tepung dan digoreng dalam kawah logam dan kemudian dihidangkan.

    Awda boleh menikmati kerang awda dengan beberapa ‘tarator’, sos walnut dan bawang putih untuk dicelup, atau awda boleh meletakkan kerang awda di antara roti Turki sebagai sandwic.

    Makanan jalanan berkhasiat ini antara beberapa pilihan untuk rakyat Turki yang berpendapatan rendah, kata Sirin.

    Turki telah bergelut dengan inflasi yang tinggi, dan kadar inflasi tahunan telah melonjak ke paras tertinggi dua dekad sebanyak 48.7 peratus, menurut data yang didedahkan awal bulan ini, meningkatkan beban penduduk dengan peningkatan kos sara hidup.

    Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan pada Disember tahun lepas rekod kenaikan gaji minimum sebanyak 50 peratus untuk membantu mengimbangi lonjakan kos sara hidup di tengah-tengah inflasi yang tinggi dan kejatuhan mata wang, manakala pakar ekonomi meramalkan bahawa negara itu berkemungkinan hidup dengan inflasi yang tinggi sepanjang 2022. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...