Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Mekanik wanita tolak streotaip jantina di Zimbabwe

    CHITUNGWIZA, ZIMBABWE – Apabila bercakap tentang mekanik, apa yang sering terlintas di fikiran ialah kaum lelaki yang tangan mereka dipenuhi dengan kesan minyak – pandangan mengenai wanita bekerja dalam bidang itu masih kelihatan ganjil bagi kebanyakan orang.

    Namun, berbeza dengan Memory Bere yang merupakan antara mekanik wanita yang semakin meningkat dan cuba menolak streotaip jantina serta mendorong perubahan dalam industri pembaikan dan penyelenggaraan automotif yang didominasi kaum lelaki.

    “Sebagai mekanik wanita, matlamat saya adalah untuk memecahkan kecenderungan jantina dalam industri mekanik permotoran dan mewujudkan generasi seterusnya sebagai mekanik wanita yang bertenaga,” jelas Bere, 30, kepada Xinhua di bengkelnya yang terletak di Chitungwiza, sebuah bandar berhampiran Harare, ibu negara dari Zimbabwe.

    Cita-citanya adalah untuk menggalakkan lebih ramai wanita menjadi mekanik.

    “Bapa saya mempunyai kereta Datsun 1500 dan saya pernah memanggilnya kereta ‘scoro-scoro’ kerana kereta itu sering bermasalah. Jadi setiap kali bapa saya membaikinya saya sentiasa berada di sisinya sebagai gadis spanar,” kata Bere.

    Memory Bere, seorang mekanik wanita, membaiki kenderaan bersama rakan sekerjanya di Chitungwiza, sebuah bandar berhampiran Harare, Zimbabwe. – Xinhua

    Apabila dia tamat pengajian sekolah menengah, Bere mendaftar dalam kursus mekanik.

    “Cabaran pertama saya ialah saya satu-satunya meka-nik wanita dalam kelas dan apabila saya tamat kursus mekanik, saya mula mencari pekerjaan namun gagal. Lantas saya memutuskan untuk pergi ke Afrika Selatan. Apabila saya pergi ke sana, ia bukan mudah kerana mekanik adalah bidang yang dikuasai kaum lelaki,” katanya.

    Apabila dia akhirnya mendapat pekerjaan, Bere berkata dia tidak dapat mencari mentor wanita.

    “Saya membuat keputusan ingin menunjukkan kepada dunia serta generasi muda yang ingin mengikuti saya bahawa tiada pekerjaan ditujukan untuk lelaki atau wanita. Selagi awda percaya dan yakin pada diri sendiri maka awda boleh melakukannya,” katanya.

    Perjalanan kariernya itu tidak mudah kerana masyarakat telah menetapkan tahap yang tidak adil untuk wanita yang perlu bekerja lebih keras daripada lelaki untuk menerima pengiktirafan yang sama.

    Walaupun memiliki pelbagai pengalaman, beberapa pelanggan masih kurang percaya kepadanya dan sering meminta untuk dilayan oleh mekanik lelaki.

    “Ada seorang pelanggan membawa sebuah kereta BMW untuk menukar pad brek. Bos saya menyuruh untuk menukarnya dan selepas saya mengetatkan roda, pelanggan perasan saya yang sedang melakukannya. Kemudian dia meminta salah seorang rakan sekerja saya untuk memeriksa sama ada saya telah melakukannya dengan betul. Dia tidak mengetahui bahawa lelaki itu adalah pembantu mekanik saya,” katanya.

    Bere berkata, dia menyedari isu berat sebelah jantina sudah sebati dalam masyarakat kerana sesama wanita juga gagal menyokongnya.

    “Apabila saya memasuki bidang ini sebagai seorang wanita, saya menjangkakan mendapat sokongan daripada wanita lain tetapi malangnya tidak kerana beberapa wanita memandang rendah terhadap saya kerana bertugas sebagai seorang mekanik. Ia sesuatu yang sukar dipercayai terutamanya dalam budaya kita bahawa seorang wanita boleh melakukan kerja lelaki,” katanya.

    Walaupun kurang sokongan, menghadapi gangguan seksual dan mengalami jenaka yang menyinggung perasaan di tempat kerja, Bere berjaya mencipta nama untuk dirinya sendiri.

    “Terdapat beberapa kejadian di mana awda mendapati lelaki itu mungkin gagal membaiki kereta dan pada akhirnya mereka akan memanggil saya dan membaiki kereta itu. Jadi ini bermakna saya telah membuktikan diri bahawa saya boleh melakukannya pekerjaan ini dan saya layak melakukannya.”

    Rahsia kejayaan Bere adalah sentiasa berusaha keras.

    “Saya sentiasa percaya dengan kata-kata yang mengatakan sentuhan wanita adalah sempurna. Dan apabila saya melakukan pekerjaan, pelanggan saya tahu bahawa saya sentiasa memastikan akan melakukannya dengan sempurna,” jelasnya.

    Bere sejak itu mula pergi ke sekolah-sekolah bagi menggalakkan kanak-kanak perempuan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang yang didominasi lelaki.

    “Gologan wanita muda harus mempertimbangkan untuk menceburi diri dalam bidang yang didominasi lelaki kerana bidang yang didominasi lelaki ini lebih praktikal. Awda tidak memerlukan banyak pendidikan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengetahui praktikal serta menggunakan tangan awda untuk bekerja,” katanya.

    Bere berkata dia mendapati pekerjaannya sebagai profesion yang bermanfaat di banyak peringkat.

    Kini matlamatnya adalah untuk melihat lebih ramai wanita muda memasuki industri. Pada masa ini, dia sedang melatih lebih 20 orang mekanik wanita yang sedang menjalani latihan di pelbagai syarikat. – Xinhua

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...