Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Munajat sempena kedatangan bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan acara Munajat di Ambang Ramadan secara maya bersempena menyambut ketibaan bulan Ramadan, kelmarin.

    Hadir menyertai acara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama-sama warga KHEU dari Dewan Multaqa, KHEU, Berakas.

    Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat I, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Awang Muhd Amaluddin bin Haji Jamaluddin secara maya dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

    Seterusnya bacaan Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT dan terhindar dari bala bencana serta penyakit merbahaya dibacakan oleh Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri Majlis Munajat di Ambang Ramadan yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU

    Acara kemudiannya diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Ganda Pahala dengan At-Ta‘awun ‘Alal Birri Wattaqwa’ disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Ugama di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, Dayang Zuratul Aini binti Dato Seri Setia Haji Rajid.

    Acara diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pegawai Pemantau Zon 3 Daerah Brunei dan Muara, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim secara maya dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

    Turut menyertai Munajat di Ambang Ramadan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Sepanjang bulan Ramadan tahun ini, acara Munajat Ramadan akan diadakan pada setiap hari Sabtu selepas sembahyang Fardu Asar.

    Acara ini merupakan kesinambungan Malam Munajat yang diadakan setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya sejak bulan Ogos 2021, dan kali ini diteruskan lagi semasa bulan Ramadan.

    Acara Munajat di Ambang Ramadan yang dianjurkan oleh KHEU bertujuan untuk mengajak orang ramai khususnya rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sama-sama memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat, merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai, dengan harapan agar penduduk di negara ini terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya, khasnya wabak COVID.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...