TOKYO, 12 MEI – Pengeluar kereta Jepun Nissan kembali mencatat keuntungan untuk tahun fiskal 2021 buat pertama kali dalam tiga tahun, meskipun menghadapi cabaran seperti kekurangan bekalan berpunca daripada pandemik dan kos melambung.
Nissan Motor Co hari ini melaporkan keuntungan berjumlah 215.5 bilion yen (AS$1.7 bilion) untuk tahun fiskal sehingga Mac, berbanding kerugian sebanyak 448.7 bilion yen yang dicatat pada tahun fiskal sebelumnya.
Jualan tahunan meningkat 7 peratus kepada 8.4 trilion yen.
Dalam suku Januari hingga Mac, Nissan mencatat keuntungan 14.2 bilion yen, Ia melaporkan kerugian sebanyak 81 bilion yen dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Eksekutif Nissan, Makoto Uchida berkata kekurangan bekalan semikonduktor tetap menimbulkan cabaran pada bulan-bulan akan datang.
Harga bahan mentah yang lebih tinggi, kesan sekatan di China serta peperangan di Ukraine juga menyumbang kepada masalah yang dihadapi, menurut Nissan. Nissan, bergabung dengan firma Renault SA dari Perancis, sedang mengunjurkan keuntungan sebanyak 150 bilion yen untuk tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2023.
Nissan merancang menjual 4 juta kenderaan di seluruh dunia, meningkat 3 peratus berbanding 3.9 juta kenderaan yang dijual pada tahun sebelumnya, dengan jualan yang lebih kukuh di Jepun dan Amerika Utara.
Jualan syarikat di China kekal tidak berubah tetapi akan mencatat jumlah lebih rendah di Eropah, memandangkan operasi Nissan di Rusia dan Ukraine telah digantung. – AP
