Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    OIC adakan sidang tergempar bincang konflik Sudan

    ANKARA, 2 MEI – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu untuk membincangkan situasi terkini di Sudan.

    “Jawatankuasa Eksekutif OIC akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Rabu, 3 Mei 2023, di ibu pejabat Sekretariat Agung di Jeddah, untuk membincangkan situasi di Sudan,” memetik kenyataan bertulis pertubuhan dunia itu.

    Sementara itu, Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, berkata mesyuarat berkenaan  mencerminkan kesungguhan pertubuhan untuk membantu memulihkan keadaan keselamatan dan kestabilan di negara yang dilanda konflik itu, lapor agensi Anadolu.

    Beliau menggesa pihak yang bertelagah untuk mengadakan gencatan senjata secara kekal dan mengadakan dialog bagi membolehkan proses politik diteruskan dan demi memelihara keselamatan rakyat serta negara. 

    Pada Isnin, anggota tetap Liga Arab turut mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah, ibu negara Mesir, bagi membincangkan situasi terkini di Sudan.

    Pertempuran bersenjata meletus pada 15 April antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum, menyaksikan sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan lebih 4,500 lagi cedera.

    Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, selepas tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat, satu tindakan yang disifatkan sebagai ‘rampasan kuasa’.

    Tempoh kerajaan peralihan yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. – Bernama

    Jalan raya lengang kelihatan di Khartoum pada 1 Mei ketika pertempuran di antara tentera memasuki minggu ketiga. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...