Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    PBB mula beri bantuan makanan kepada ibu mengandung Sri Lanka

    COLOMBO, 16 JUN – Ribuan wanita miskin di Sri Lanka mula menerima bantuan makanan hari ini sebagai sebahagian respons kecemasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kepada krisis ekonomi pulau tersebut.

    Empat daripada lima orang terpaksa mengikat perut kerana tidak mampu membeli makanan pada harga tinggi, kata PBB, memberi amaran mengenai ‘krisis kemanusiaan getir’ dengan jutaan lagi memerlukan bantuan.

    Program Makanan Sedunia (WFP) dari PBB berkata ia mula mengagihkan baucar makanan kepada kira-kira 2,000 wanita mengandung di kawasan melarat Colombo sebagai sebahagian daripada ‘bantuan menyelamatkan nyawa’.

    Anthea Webb, timbalan pengarah serantau WFP bagi Asia dan Pasifik berkata orang miskin di negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu berdepan kesukaran untuk mendapatkan barangan asas seperti makanan.

    “Apabila mereka tidak makan, mereka meletakkan kesihatan diri dan anak mereka dalam risiko,” katanya.

    WFP berkata pengagihan baucar tunai dengan nilai AS$40 itu adalah usaha PBB untuk membantu tiga juta warga Sri Lanka yang terjejas dengan harga memuncak.

    Badan dunia itu cuba untuk mengumpulkan AS$60 juta bagi usaha bantuan makanan antara Jun dan Disember.

    WFP berkata ia juga mahu membantu jutaan kanak-kanak untuk mendapat akses kepada sekurang-kurangnya satu hidangan di sekolah.

    Mereka juga mahu memberikan ‘makanan bernutrisi’ kepada jutaan ibu dan kanak-kanak.

    Selain itu, catuan makanan sama ada makanan, tunai atau baucar juga akan diberikan kepada jutaan yang lain, kata WFP. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...