Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pembekal China kembangkan pasaran cendawan di AS

    NEW YORK – Pembekal cendawan istimewa China, Shandong Qihe Biological Technology Co., Ltd. akan terus mengembangkan pasarannya di Amerika Syarikat dengan menambah lebih banyak kapasiti pengeluaran dan melanjutkan rantaian perniagaan, menurut seorang eksekutif yang bertanggungjawab ke atas operasi syarikat di Amerika Utara.

    Qihe mengendalikan ladang penanaman cendawan di Daerah Cumberland, New Jersey dan Seattle Washington dengan pengeluaran harian masing-masing pada 20,000 hingga 30,000 paun dan sekitar 5,000 paun, kata ketua operasi Qihe di Amerika Utara, Du Xingpeng.

    Kapasiti pengeluaran cendawan harian ladang di Cumberland boleh meningkat kepada 50,000 paun manakala kapasiti pengeluaran di ladang Seattle boleh mencapai 15,000 hingga 20,000 paun, kata Du dalam temu bual dengan Xinhua baru-baru ini.

    Ladang di Cumberland County mempunyai 75 rumah hijau penanaman cendawan yang beroperasi dan juga berfungsi sebagai pusat pemindahan kontena. Lebih-lebih lagi, Qihe akan membina ladang penanaman cendawan pintar sepenuhnya di Atlanta, Georgia dengan kapasiti pengeluaran sekitar 50,000 paun setiap hari, kata Du.

    Qihe kini mempunyai 11 rumah hijau penanaman cendawan di Atlanta, yang menggunakan kira-kira 1.5 juta balak benih cendawan setiap tahun. Bermula dari 2013, Qihe telah menubuhkan lima anak syarikat di AS, menikmati peranan dominan dalam pasaran cendawan shiitake di negara itu.

    Du Xingpeng (depan), ketua operasi Qihe di Amerika Utara, memeriksa cendawan tiram kuning di rumah hijau di ladang cendawan Qihe di Cumberland County, New Jersey, AS. – Xinhua
    Pekerja memilih cendawan shiitake sebelum dibungkus. – Xinhua
    Kelihatan seorang pekerja membungkus cendawan shiitake. – Xinhua
    Du Xingpeng memeriksa balak benih cendawan import yang disimpan dalam kontena sejuk di ladang cendawan Qihe. – Xinhua
    Seorang pekerja memandu jentera berat melepasi rumah hijau di ladang cendawan Qihe di Cumberland County, New Jersey. – Xinhua

    Selain cendawan shiitake, Qihe juga mengusahakan penanaman cendawan tiram kelabu, cendawan tiram raja, cendawan tiram kuning dan cendawan lion sane di sini dalam kuantiti kecil.

    “Cendawan di sini benar-benar luar biasa… Saya sangat teruja untuk berada di sini dan menikmati cendawan itu,” kata Alec Lasko, seorang penduduk di Cedarville dari Daerah Cumberland.

    Walaupun cendawan dalam budaya Amerika tidak begitu popular seper-ti dalam budaya China, ramai rakyat Amerika menemui budaya yang berbeza di seluruh dunia, terutamanya makanan dan cendawan Cina, kata Lasko, yang melihat keistimewaan cendawan sebagai produk yang kemas di pasaran AS. Difahamkan cendawan butang, portabella dan cendawan baby bella mengambil sebahagian besar pasaran cendawan AS manakala penggunaan cendawan shiitake berkembang sekitar 15 peratus setiap tahun.

    Jumlah jualan cendawan berjumlah 758 juta paun bagi tanaman cendawan AS pada 2020 hingga 2021 dengan nilai jualan AS$1.06 bilion, menurut laporan oleh Jabatan Pertanian AS.

    Kira-kira 120 kontena balak benih cendawan diimport ke AS dari China setiap bulan dengan 40 hingga 50 digunakan untuk ladang penanaman cendawan Qihe dan selebihnya dijual kepada penanam cendawan luar di AS, kata Du kepada Xinhua. Qihe kini menggaji lebih 100 orang tempatan di ladang penanaman cendawan, menurut Du.

    Du berkata Qihe juga merancang untuk memproses cendawan untuk membuat minuman cendawan dan membangunkan produk untuk tujuan perubatan dan kosmetologi.

    Lebih-lebih lagi, Qihe sedang berusaha untuk menukar balak benih cendawan yang dibuang kepada perapi tanah organik, yang boleh meningkatkan pengeluaran hasil sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus, menurut Du.

    Penukaran sisa balak benih cendawan akan membantu membina rantaian industri bersepadu dengan gelung tertutup, kata Sheng Dongwei, rakan kongsi perniagaan Qihe.

    Pengeluaran perapi tanah akan bermula pada penghujung 2022 dengan teknologi dan peralatan utama yang akan diimport dari China, kata Sheng, yang mewakili pembekal penyelesaian China dalam hal ini.

    Berpangkalan di bandar Zibo di timur China, Qihe membuat balak benih cendawan daripada ranting dan dahan kitar semula dari kebun epal dan telah membina perniagaan meliputi China, Korea Selatan, Jepun, AS, Poland dan lain-lain. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...