Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Penduduk M’sia berjumlah 32.4 juta

    SHAH ALAM, 14 FEB – Penduduk di Malaysia berjumlah 32.4 juta mengikut penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata purata Kadar Pertumbuhan Tahunan dikompaun (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. Menurutnya daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara manakala 2.7 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.

    Perdana menteri berkata banci juga mendapati 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

    “Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 100 wanita bersamaan 96 lelaki,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus diikuti Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus). Daripada segi kumpulan umur pula, beliau berkata dapatan menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun). 

    “Warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding 2010 sebanyak lapan peratus (2.2 juta). “Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24 peratus pada 2020,” katanya.

    Perdana Menteri berkata dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci serta terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

    Beliau berkata penemuan Banci 2020 itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs). – Bernama

    Maskot Abam Banci dan Akak Banci menunjukkan buku Statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci 2020 di Dewan Canselor Management dan Science University (MSU) Seksyen 13. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...