Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Perdagangan bulan Jun catat perkembangan positif

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Nilai jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi Jun 2022 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 62.5 peratus kepada $3,244.1 juta berbanding $1,995.9 juta pada bulan yang sama 2021.

    Manakala, bagi perubahan bulan ke bulan, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 14 peratus berbanding Mei 2022, menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Jun 2022 yang dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Sementara itu, jumlah eksport negara juga meningkat sebanyak 61.1 peratus kepada $1,775.1 juta pada Jun 2022 berbanding $1,101.7 juta pada Jun tahun lepas.

    Ini terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,352 juta (Jun 2022) daripada $865.7 juta (Jun 2021).

    Di samping itu, eksport bahan kimia turut meningkat kepada $378.3 juta pada Jun 2022 berbanding $209.4 juta pada bulan yang sama 2021.

    Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport minyak mentah dan produk petroleum. Peningkatan eksport minyak mentah terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga purata sebanyak 74.8 peratus kepada AS$129.04 setong pada Jun 2022 daripada AS$73.82 setong pada Jun 2021.

    Manakala itu, eksport produk petroleum mencatatkan peningkatan kepada $845 juta daripada $347.9 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi eksport, JPES mengongsikan bahawa bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport negara iaitu 76.2 peratus, diikuti dengan bahan kimia sebanyak 21.3 peratus; dan jentera dan kelengkapan pengangkutan pula sebanyak 1 peratus.

    Pasaran eksport utama pada Jun 2022 adalah Malaysia dengan 30.7 peratus, diikuti oleh Australia (14.4 peratus), dan Singapura (12.6 peratus). Komoditi eksport terbesar ke Malaysia, Australia dan Singapura adalah bahan api galian. Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,469 juta (Jun 2022) berbanding $894.2 juta (Jun 2021) terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian.

    Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian dengan 78.5 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 6.9 peratus, makanan sebanyak 5.1 peratus, barang keluaran kilang sebanyak 4.1 peratus, dan bahan kimia sebanyak 2.4 peratus.

    Kebanyakan import negara sebanyak 59.3 peratus adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan diikuti oleh barangan modal (38.4 peratus) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (2.3 peratus) bagi kegunaan isi rumah.

    Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia dengan 23.7 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (22.9 peratus) dan Iraq (10.1 peratus) dengan komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Dalam pada itu, mengikut mod pengangkutan, pada Jun 2022, peratus yang tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $3,147.2 juta atau 97 peratus. Ini diikuti oleh pengangkutan udara berjumlah $65.5 juta atau 2 peratus dan melalui darat $31.4 juta atau 1 peratus.

    Laporan penuh IMTS bagi Jun 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...