Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Pihak berkuasa pelabuhan Singapura siasat insiden jambatan di Baltimore runtuh

    SINGAPURA, 28 MAC – Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran keperluan berkanun yang berkaitan di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1995 susulan insiden Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Maryland runtuh.

    MPA dalam satu kenyataan berkata siasatan akan dijalankan sebagai sebahagian daripada kewajipan ke atas Dali, kapal kontena didaftarkan di Singapura yang melanggar tiang jambatan berusia beberapa dekad itu.

    “MPA, sebagai badan pentadbir di bawah bendera Singapura, mengambil tanggungjawabnya terhadap keselamatan kapal yang berdaftar di negara ini dengan serius.

    Ia bekerjasama dengan lapan pertubuhan pengelasan antarabangsa untuk meninjau, memeriksa dan memastikan kapal didaftarkan di Singapura mematuhi semua keperluan undang-undang yang berkenaan,” katanya.

    Agensi itu berkata ia akan terus bekerjasama dengan syarikat pengurusan kapal Synergy Marine Pte Ltd untuk memudahkan pertukaran maklumat bagi membantu Pengawal Pantai AS dalam siasatannya.

    “MPA juga telah meminta pertubuhan pengelasan kapal, ClassNK untuk menyediakan penilaian teknikal dan pengiraan kestabilan, yang merupakan parameter penting untuk membantu  Pengawal Pantai AS dalam perancangan dan pelaksanaan selamat operasi menyelamatkan kapal itu,” katanya.

    MPA berkata ia akan terus bekerjasama dengan syarikat pengurusan kapal untuk memastikan kebajikan kru kapal Dali terjaga dan syarikat itu bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

    Sementara itu, MPA berkata Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) akan melakukan siasatan keselamatan marin secara bebas untuk mengenal pasti pengajaran yang dapat mengelakkan kemalangan dan insiden marin pada masa akan datang. – Bernama

    Jambatan Francis Scott Key yang runtuh terletak di atas kapal kontena Dali di Baltimore, Maryland, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...