Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Presiden China adakan pertemuan dengan wakil perniagaan, strategik dan akademik AS

    BEIJING, 28 MAC – Presiden China Xi Jinping menerima kunjungan delegasi wakil dalam kalangan ahli perniagaan, strategik dan akademik Amerika Syarikat (AS) di Beijing, kelmarin.

    Xi berkata hubungan China-AS antara hubungan dua hala yang paling penting di dunia.

    “Sama ada menjalinkan kerjasama atau wujudnya konfrontasi ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan nasib seluruh umat manusia. Kejayaan masing-masing juga merupakan peluang antara satu sama lain. 

    “Asalkan China dan AS memandang satu sama lain sebagai rakan, saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama saling untung maka hubungan China-AS pasti akan lebih baik,” kata Xi. 

    Bersempena ulang tahun ke-45 ikatan diplomatik China-AS pada tahun ini, Xi berharap tokoh-tokoh dan semua pihak yang berkepentingan dapat mengadakan pertukaran lawatan dan pandangan, meningkatkan kepercayaan, memperkasakan kerjasama yang saling menguntungkan demi memberikan lebih banyak kesejahteraan rakyat dan menyumbang kepada kestabilan dunia. 

    “Pertumbuhan ekonomi China adalah sihat dan lestari. Negara ini menyumbang lebih 30 peratus kepada pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun lepas. 

    “China akan terus menggalakkan pembangunan bermutu tinggi dan modenisasi ala China. Ia diyakini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat China, sekali gus menyumbang kepada pembanguan mampan dunia,” kata Xi.

    Beliau juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat asing termasuk syarikat AS menyertai pembinaan bersama Inisiatif Jalur & Laluan (BRI) dan meneroka pasaran di negara ini.

    Presiden Xi berkata konsensus yang dicapai beliau dengan Presiden Biden semasa pertemuan di San Francisco pada tahun lepas memperlihatkan bahawa hubungan China-AS harus diperbaiki dan menjadi lebih mantap. 

    “Dalam beberapa bulan lepas, kedua-dua pihak telah mengadakan komunikasi dan perbincangan lanjut mengenai konsensus itu dan mencapai hasil dalam politik, hubungan luar, ekonomi, perdagangan, penguatkuasaan, pencegahan dadah, perubahan iklim dan lain-lain,” kata Xi. 

    Wakil-wakil dari AS menyatakan, China mencapai pertumbuhan dan transformasi yang cemerlang dalam beberapa dekad lalu, sekali gus menyaksikan daya tahan dan kekuatan kedinamikan.  

    Mereka menyokong kedua-dua negara meningkatkan pertukaran lawatan dalam pelbagai peringkat, meningkatkan persefahaman, kepercayaan, kerjasama selain menggembleng  tenaga untuk menangani cabaran global serta membina hubungan China-AS yang stabil, mantap dan berhasil. – Bernama

    Presiden China, Xi Jinping (tengah) berjalan bersama wakil daripada komuniti perniagaan, strategik dan akademik Amerika di Dewan Besar Rakyat di Beijing, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...