Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Program Halaqah Zikir labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Program Halaqah Zikir anjuran Masjid Omar ‘Ali Saifuddien untuk pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat swasta bagi tahun ini telah berakhir hari ini dengan sembahyang sunat Hajat berjemaah, bacaan surah-surah dan zikir-zikir pilihan, tazkirah dan bacaan doa khas yang berlangsung di masjid berkenaan.

    Turut hadir pada majlis penutup tersebut ialah Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

    Pada majlis itu, tazkirah disampaikan oleh Penolong Pensyarah i-Ready, Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Mohd Yadey bin Haji Mat Yassin.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian cenderahati kepada tenaga pengajar kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid berkenaan yang telah bersara, disempurnakan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohd Hasnal bin Haji Mohammad selaku guru penghubung kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid tersebut.

    Halaqah Zikir itu diketuai oleh pegawai-pegawai masjid berkenaan yang terdiri daripada khatib-khatib dan mudim.

    Antara pegawai dan kakitangan kerajaan yang menyertai program tersebut di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Di samping menjadikan zikir sebagai amalan harian setiap kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat swasta, acara itu juga dihasratkan untuk sama-sama berdoa semoga Brunei Darussalam, khasnya jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta akan sentiasa diberkati Allah.

    Selain itu, para peserta juga mendoakan negara ini mencapai kejayaan, diluaskan pintu rezeki, dijauhi daripada sebarang bala bencana.

    Doa juga dititipkan agar jabatan kerajaan atau syarikat swasta di negara ini menitikberatkan nilai-nilai Islam yang unggul.

    Program seumpamanya telah diadakan sekali dalam sebulan iaitu pada minggu pertama setiap bulan sejak 2013 dengan tujuan untuk menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

    Selain itu, program juga adalah bagi merealisasikan identiti Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sebagai ‘Raudhah Al-Zikr’.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...