Sunday, May 19, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Promosi kerjasama Brunei-Vietnam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Vietnam mempunyai hubungan dua hala yang telah berkembang serta diperkukuhkan sepanjang 30 tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.

    Pada 2019, kedua-dua pihak telah menubuhkan Kerjasama Komprehensif dengan harapan untuk mempromosikan lebih banyak kerjasama di dalam pelbagai bidang termasuk po-litik, perdagangan, perdagangan dan pelaburan, kebudayaan serta pertukaran di antara penduduk kedua-dua buah negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam
    ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa dalam kata alu-aluannya semasa perasmian Pameran Perdagangan, Kebudayaan, Makanan dan Kesenian Vietnam-Brunei Darussalam yang berlangsung di The Mall, Gadong, hari ini.

    Hadir untuk sama-sama merasmikan pameran berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Luar Vietnam, Tuan Yang Terutama Bui Thanh Son.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat serta para jemputan khas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan (tengah), TYT Bui Thanh Son (kanan) dan TYT Tran Van Khoa menyempurnakan perasmian Pameran Perdagangan, Kebudayaan, Makanan dan Kesenian Vietnam-Brunei Darussalam yang berlangsung di The Mall, Gadong, kelmarin.
    Persembahan kebudayaan tradisional Vietnam turut memeriahkan lagi perasmian pameran kelmarin.
    Antara hasil karya seni yang diketengahkan pada pameran yang berlangsung di The Mall, Gadong.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, TYT Tran Van Khoa berkata bahawa pameran itu dianjurkan bersempena dengan lawatan rasmi TYT Bui Thanh Son ke Negara Brunei Darussalam dan sebagai memperingati ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara Brunei dan Vietnam ke-30.

    Beliau menerangkan bahawa sebelum perasmian pameran berkenaan, satu sesi pemadanan perniagaan telah diadakan yang menyaksikan penyertaan daripada lebih 70 buah perniagaan dari Vietnam dan Brunei.

    Peserta sesi berkenaan, jelasnya, berpeluang mempelajari, menerokai industri-industri yang menarik di pasaran masing-masing serta bertemu dengan bakal rakan kongsi perniagaan.

    Beliau berkata selain aktiviti ekspo dan sesi pemadanan perniagaan, pameran itu juga akan mengetengahkan beberapa persembahan kebudayaan dari Brunei dan Vietnam.

    Sesi kebudayaan berkenaan akan menyaksikan kumpulan artis dari kedua-dua buah negara mempamerkan tarian masyarakat tradisional dan persembahan pentas yang mengetengahkan identiti negara masing-masing.

    Pada masa yang sama, pameran foto daripada jurugambar berbakat dari Vietnam dan juga hasil karya seni artis-artis Brunei turut dipamerkan semasa pameran berkenaan.

    Pameran yang menampilkan 28 petak gerai yang mewakili 70 perniagaan dari Vietnam dan Brunei itu bermula pada 7 hingga 11 September di mana ia mengetengahkan produk-produk dari Vietnam seperti buah-buahan kering, kopi terkenal Vietnam, gajus dan teh, sarang burung dan minuman ginseng.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia cipta AI boleh klasifikasi tumor otak lebih cepat, tepat

    CANBERRA, 19 MEI - Pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mengklasifikasikan tumor otak dengan lebih cepat...