Rangka mekanisme terbaik tangani isu harga dan bekalan makanan

KUALA LUMPUR – Isu kenaikan harga barangan keperluan dan makanan yang dilaporkan mencecah 60 peratus, menjadi polemik terbaharu masyarakat lantaran impaknya bukan sahaja menambah tekanan hidup golongan B40 tetapi juga kumpulan berpendapatan sederhana tinggi M40, khususnya yang tinggal di bandar besar.

Ini kerana peningkatan harga barangan keperluan dan makanan tidak hanya meningkatkan perbelanjaan isi rumah tetapi turut menjejaskan kemampuan mereka menabung.

Malah, pemerhati menjangkakan kuasa beli pengguna terus menurun pada bulan-bulan mendatang berdasarkan data Harga Indeks Pengguna (IHP) atau kadar inflasi umum bulan lepas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, IHP bagi April 2022 meningkat 2.3 peratus kepada 125.9 peratus berbanding 123.1 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.  

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dipetik berkata inflasi makanan bagi bulan itu melambung 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman telah merekodkan kenaikan.

Peniaga kedai runcit di Pulau Pinang, Jalilah Idris menunjukkan dua saiz sardin yang mengalami kenaikan harga ketika tinjauan wartawan baru-bari ini. – Bernama
Kemungkinan ada keluarga B40 kini mencatu makanan malah keadaan semasa juga mungkin mendorong sesetengah ketua isi rumah ‘mengorbankan’ sebahagian daripada barangan makanan yang selama ini dinikmati mereka.

 Harga barangan kekal rendah?

Mengulas mengenainya, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, berkata kenaikan harga barangan mula dirasa apabila sektor ekonomi dan sempadan negeri dibuka untuk tujuan perdagangan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan.

“Harga mula naik ketika itu disebabkan gangguan rantaian bekalan makanan selain ramai rakyat dan pemilik perniagaan menerima banyak bantuan tunai daripada pakej rangsangan fiskal kerajaan, sekali gus membolehkan mereka mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

“Apabila kesemua mahu berbelanja maka wujud situasi permintaan melebihi penawaran, sekali gus menyebabkan peningkatan harga barang. Keadaan diburukkan lagi oleh krisis Rusia-Ukraine dan faktor cuaca global yang mengakibatkan hasil tani merosot, mendorong sesetengah negara pengeksport mengehadkan eksport makanan bagi memastikan bekalan domestik mereka mencukupi,” jelasnya kepada Bernama.

Katanya jika tiada langkah berkesan diambil oleh kerajaan, baik untuk jangka pendek mahupun panjang, krisis makanan semasa akan bertambah kritikal.

Pada masa sama beliau menyarankan kerajaan menimbang semula pemberian subsidi bersasar kerana menurutnya kaedah itu tidak menjamin harga barangan kekal rendah.

Ini kerana kata beliau golongan berkemampuan masih perlu membayar pada harga pasaran, sekali gus mengakibatkan harga barangan secara keseluruhan akan terus meningkat.

“Kerajaan tidak mampu menampung pengagihan subsidi kepada semua disebabkan jumlah subsidi tahun ini yang dijangka meningkat kepada RM28 bilion, iaitu melebihi jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tahunan. 

“Jadi, kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme terbaik untuk jangka masa sederhana dan panjang, selain daripada inisiatif penghapusan AP (permit import), henti eksport ayam dan kurangkan kebergantungan import makanan untuk memastikan harga barangan kekal rendah,” katanya. 

 Kesan besar

Tidak menafikan langkah kerajaan memansuhkan AP dan membatalkan eksport ayam dapat menangani krisis harga dan bekalan makanan, Ahmed Razman bagaimanapun berpendapat inisiatif itu tidak boleh dilaksanakan untuk tempoh yang  lama.

“Ini semua adalah langkah jangka pendek dan tidak akan mampan dalam tempoh masa lama. Oleh itu, kerajaan harus segera melaksanakan langkah jangka masa sederhana dan panjang, misalnya melaksanakan segala pelan tindakan yang telah digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 sesegera mungkin.

“Pada masa sama, pastikan rantaian bekalan makanan dipantau sepenuhnya untuk mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan selain segala permasalahan yang diutarakan mereka  dalam industri makanan harus diambil perhatian,’’ katanya.

Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata  kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan AP bagi mengimport sebarang bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta, dalam usaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kenaikan harga barang, walaupun dalam kadar kecil, pasti akan memberi kesan besar terhadap perbelanjaan isi rumah  kerana pendapatan mereka tidak berubah.

“Walaupun harga barang hanya naik sedikit, kesan terhadap perbelanjaan sesebuah isi rumah adalah besar kerana gaji mereka masih pada tahap sama. Ini bermakna nilai pendapatan mereka merosot,” katanya.

Beliau memberi contoh wang sebanyak RM50 yang sebelum ini boleh dibelanjakan untuk membeli purata tiga hingga empat ekor ayam, namun kini jumlah wang yang sama  hanya cukup untuk dua ekor.

“Jangan pula ada yang bagi kenyataan tidak perlu makan ayam (selepas ini) sebab mahal, kerana ayam merupakan makanan biasa bagi rakyat Malaysia,” tegasnya.

M40 ke B40

Menyifatkan kenaikan harga barangan sebagai “never ending story” (kisah yang tidak bernoktah), beliau bersetuju tentang perlunya kerajaan merangka satu mekanisme tuntas bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup mereka yang semakin teruk ditekan oleh kenaikan kos sara hidup.

“Sebelum ini, ramai rakyat terkesan oleh pandemik COVID apabila sektor ekonomi tidak dapat beroperasi sepenuhnya selama lebih dua tahun, dan apabila sektor ekonomi dibuka semula tahun ini, pelbagai isu muncul termasuk kenaikan harga barangan.

“Kita tidak mahu isu seperti ini terus berpanjangan akibat kenaikan harga barangan kerana keadaan ini berisiko mengakibatkan lebih ramai daripada kumpulan M40 menjadi B40 seperti yang berlaku ketika pandemik sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, tinjauan ekonomi Kementerian Kewangan mendapati pandemik COVID telah memberi kesan kepada setiap isi rumah di Malaysia, baik B40, M40 mahupun T20.

Menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 (2021), sejumlah 12.8 peratus isi rumah T20 dan 20 peratus isi rumah M40 kini berada dalam kategori berpendapatan lebih rendah.

Menurut laporan itu, data menunjukkan sekitar 600,000 hingga sejuta isi rumah M40 telah tergolong dalam kelompok B40 akibat pemberhentian kerja dan potongan gaji.

 Catu makanan

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Roshaiza Taha tidak menolak kemungkinan ada keluarga B40 kini mencatu makanan, iaitu satu situasi yang tidak harus terjadi di Malaysia.

Malah katanya keadaan semasa juga mungkin mendorong sesetengah ketua isi rumah ‘mengorbankan’ sebahagian daripada barangan makanan yang selama ini dinikmati mereka. 

“Isu makanan ini kritikal kerana bukan sahaja harga naik mendadak, tetapi bekalan juga tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

“Pada masa sama, Malaysia masih belum mampu mengurangkan import makanan disebabkan pengeluaran domestik tidak dapat memenuhi keperluan rakyat,” katanya, menjelaskan pada masa sama negara pengeksport juga mungkin mengurangkan eksport mereka demi menjamin keperluan sendiri.

Sehubungan itu kata beliau, sudah tiba masa institusi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan, merangka strategi untuk mengurangkan kebergantungan tinggi negara terhadap produk import.

“Saya percaya peruntukan yang besar telah diberikan kepada agensi-agensi ini untuk membuat penyelidikan kelestarian sumber makanan, dan sudah sampai masanya kerajaan melihat serta menilai kembali hasil kajian tersebut, terutamanya penyelidikan berkaitan sumber makanan atau dalam bidang pertanian.

“Teliti kembali pelaksanaan pembangunan tidak perlu dan lebih tumpukan perhatian kepada industri makanan seperti yang dibuat negara maju bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” kata Roshaiza.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam laporan media pada 27 Mei, menyatakan ia komited memperkasa keluaran pertanian tempatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pada pengimportan, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.

Ketua Setiausahanya Datuk Haslina Abdul Hamid dipetik berkata  inisiatif itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import, malah dapat meningkatkan produktiviti dalam negara.

Ini katanya selaras dengan pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.– Bernama