Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Risiko pemanjat pokok di hutan Amazon

    MANICORE, BRAZIL – Seorang ahli botani mendongak melihat seorang lelaki yang bergantungan 20 meter dari atas tanah di sebatang pokok spesies terancam di hutan Amazon, Brazil.

    “Cantas satu lagi dahan, Zelao,” jerit ahli botani itu.

    Sambil mengayun-ayunkan peralatan canggih, Jose Raimundo Ferreira, 42 tahun, dikenali sebagai Zelao, dengan cekap menggunakan alat tersebut untuk memotong dahan itauba, di mana kayunya amat berharga untuk digunakan dalam pembuatan bot. Zelao adalah antara segelintir orang yang berupaya memanjat pokok Amazon dalam masa sekelip mata. Ahli botani Marta Pereira, yang gembira kerana dapat menggunakan khidmat Zelao, berkata hanya terdapat 20 orang yang mampu melakukan kerja tersebut.

    “Bagi kami, mereka adalah penting, tanpa mereka, kami tidak akan memperoleh sebarang sampel,” kata Pereira, seorang penyelidik di universiti Amazon.

    Pemanjat pokok berkenaan malah lebih penting di kawasan di mana ahli sains percaya mereka hanya tahu kira-kira 30 peratus daripada biodiversiti hutan Amazon. Berpakaian dalam kemeja-T dan seluar Bermuda, Zelao memanjat pokok yang boleh mencecah ketinggian 50 meter lima atau enam kali sehari.

    Dia mengutip buah-buahan, daun atau memotong dahan.

    Dia juga memasang kamera di atas pokok untuk merakamkan burung dan monyet. Demi keselamatan dirinya, dia mempunyai abah-abah, tali dan but bertapak getah tebal. Ada kalanya dia memanjat dari satu pokok ke pokok lain.

    “Ia amat berisiko dan memerlukan banyak teknik, banyak persediaan dari segi fizikal,” ujar Zelao, menambah dia telah pun menjalani pembedahan ligamen yang terputus sebanyak empat kali. Walaupun begitu, dia tidak mempunyai hasrat untuk berhenti daripada tugas tersebut.

    “Adalah amat sukar untuk mencari seorang pemanjat. Jadual saya sudah penuh sehingga 20 Disember.” Meskipun pekerjaannya adalah amat dicari-cari, pemanjat pokok tidak mempunyai jaminan kerja. Mereka dibayar berdasarkan kerja harian, tanpa kontrak atau pun keselamatan sosial.

    “Kerja mereka harus ditetapkan sebagai juruteknik lapangan dan mereka harus mendapatkan latihan,” kata Pereira. Meskipun risiko yang dihadapi, Zelao berhasrat menurunkan tugasnya kepada anak lelakinya yang berusia 19 dan 21 tahun apabila tubuh badannya sudah tidak terdaya untuk meneruskannya. – AFP

    Pemanjat pokok Zelao mengutip sampel botani dari atas pokok semasa ekspedisi saintifik di sungai Manicore. – AFP
    Jose Raimundo Ferreira, lebih dikenali sebagai Zelao, menyediakan peralatannya untuk memanjat sepohon pokok semasa ekspedisi saintifik di sungai Manicore di hutan hujan Amazon. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...