Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Sekolah Fairview adakan majlis khatam Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Sekolah Fairview tidak ketinggalan untuk sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan dengan mengadakan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, baru-baru ini.

    Majlis diselajurkan dengan penyampaian derma anak yatim dan hadiah Peraduan Menghafaz Surah Lazim.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor. Turut hadir ialah Ketua Pentadbiran Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Fairview, Haji Wardi bin Haji Mohd Hasan.

    Majlis khatam disertai oleh para guru dan kakitangan sekolah manakala Peraduan Menghafaz Surah Lazim dibukakan kepada semua murid Sekolah Fairview.

    Antara lain tujuan majlis adalah untuk mengisi aktiviti bulan Ramadan dengan ibadah membaca Al-Quran di samping melancarkan dan menghalusi bacaan Al-Quran murid-murid sekali gus mencintai Al-Quran serta memberikan bantuan kepada anak-anak yatim.

    Majlis diserikan dengan memperdengarkan hafazan surah-surah daripada johan peraduan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

    Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah Kategori 1 – Peringat Prasekolah, KG1 dan KG2 menghafaz Surah Al-Fatihah, Kategori 2 – Peringkat Sekolah, Tahun 1 dan 2 menghafaz surah Al-Fatihah dan surah 3 Qul, Kategori 3 – Peringkat Sekolah, Tahun 3 dan 4 menghafaz surah Al-Kawthar, Al-Kafirun, An-Nasr dan Al-Masad dan Kategori 4 – Peringkat Sekolah, Tahun 5 dan 6 menghafaz surah Al-Asr, Al-Fil, Quraish dan Al-Maun.

    Penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan telah di-sempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan penyerahan sumbangan berupa kewangan daripada guru-guru, ibu bapa dan PIBG kepada anak-anak yatim Sekolah Fairview dan alumni.

    Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad, Datin Paduka Hajah Fatimah dan Haji Wardi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...