Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Spoon lure: Umpan tiruan tertua

    Oleh Raz AS

    Spoon lure (gambar) atau juga dikenali sebagai umpan sesudu dalam Bahasa Melayunya merupakan salah satu jenis umpan tiruan tertua dan dipercayai sudah mula digunakan untuk menangkap ikan pada tahun 1840an.

    Nama spoon lure ataupun umpan sesudu diambil daripada reka bentuk asalnya yang ringkas seakan-akan kepala sudu, berbentuk bujur panjang dan cengkung (concave) pada salah satu sisinya.

    Umpan ini akan ‘tergelek-gelek’ (wobbling) di dalam air ketika ditarik dan memantulkan cahaya yang menyerupai anak ikan melarikan diri atau tercedera. Kerana umpan sesudu menarik perhatian ikan secara visual penggunaannya sangat efektif di perairan jernih dan semasa cuaca cerah atau terang.

    Aksi persembahan umpan sesudu bergantung pada bentuk dan ketebalannya. Umpan sesudu yang berbadan panjang akan menghasilkan aksi gerakan sisi ke sisi yang lebih lebar daripada yang berbadan pendek. Manakala bentuk cengkung yang lebih dalam pula akan menghasilkan ‘gelekan’ yang lebih kuat.

    Terdapat beberapa jenis umpan sesudu yang boleh didapati mengikut kategori penggunaannya iaitu casting, trolling, weedless, jigging dan aksi permukaan. Badannya pula ada yang diperbuat daripada bahan besi, loyang, tembaga, plastik ataupun kayu.

    Kerana umpan sesudu menarik perhatian ikan secara visual penggunaannya sangat efektif di perairan jernih dan semasa cuaca cerah atau terang. – Agensi

    Umpan sesudu bagi kaedah casting dikenali sebagai sesudu tradisional. Di bahagian belakangnya mempunyai mata kail tiga (treble) atau tunggal yang dihubungkan dengan split ring yang membolehkannya tergantung bebas semasa umpan beraksi. Beratnya boleh didapati daripada 0.7 gram untuk aksi ultralight sehingga mencecah lebih daripada 85 gram.

    Bagi trolling pula, umpan sesudu khas kaedah ini mempunyai badan yang lebih nipis dan ringan daripada sesudu tradisional jika dibandingkan dengan saiznya. Umpan sesudu kaedah trolling yang mempunyai panjang badan 3 inci selalunya hanya mempunyai berat kira-kira 3.5 gram. Ini kerana penggunaannya adalah untuk dipadankan dengan downrigger untuk membuatnya tenggelam pada kedalaman yang diinginkan semasa trolling dilakukan.

    Sesudu weedless pula digunakan untuk memancing di kawasan yang mempunyai struktur seperti reba kayu, tumbuhan akuatik di dalam air dan lain-lain. Umpan sudu jenis ini mempunyai mata tunggal yang bercantum dengan badan umpan dan mempunyai pengadang dawai di depannya untuk melindung mata kail daripada tersangkut.

    Manakala sesudu jenis permukaan pula adalah umpan sesudu yang terapung yang selalunya diperbuat daripada plastik atau kayu. Mata tunggal di belakangnya menghala ke atas untuk mengelakkan sangkut. Ia sesuai digunakan di kawasan yang mempunyai tumbuhan air yang menutup permukaan air.

    Akhir sekali adalah sesudu jigging. Sesudu jenis ini selalunya diperbuat daripada besi atau tungsteen. Ia mempunyai badan yang leper, tebal dan berat yang direka khas agar umpan cepat tenggelam dan digunakan untuk memancing ikan yang bersembunyi di kawasan perairan dalam.

    Teknik ampuh menggunakan umpan jenis ini adalah dengan menggunakan teknik vertical jigging. Umpan dilabuh sehingga mencecah dasar atau kedalaman yang dimahukan dan hujung joran diangkat-angkat atau short jerk untuk menarik perhatian ikan. Selalunya ikan akan menyambar ketika umpan kembali jatuh ke dasar oleh itu disarankan agar pemancing sentiasa peka, jika jatuhannya terhenti atau tali bergerak-gerak sentap joran dengan segera.

    Kebanyakan sesudu dicat pada salah satu sisinya dengan warna metalik yang memantulkan cahaya, manakala sisi yang lainnya pula diwarnakan dengan warna atau rekaan yang menyerupai anak ikan.

    Pilihan saiz umpan sesudu adalah bergantung pada spesies buruan, sama ada menggunakan kaedah casting atau jigging yang pastinya penggunaannya sesuai dipadankan dengan joran yang mempunyai aksi fast, hujungnya yang karau boleh membantu pemancing mengesan getuan ikan dengan lebih cepat.

    Kelemahan terbesar umpan sudu secara amnya, ia boleh menyebabkan line twist kerana pergerakannya yang rawak dan boleh berpusing-pusing di dalam air. Oleh yang demikian penggunaan tali perambut yang disambung dengan kili-kili jenis ball bearing swivel dan snap atau kombinasi keduanya sangat disarankan. Ini bukan sahaja membolehkan sesudu bergerak dengan lebih bebas sementara meminimumkan line twist malah pemancing juga boleh menukar sudu dengan lebih cepat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...