Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Sungai bersih, alam sekitar terpelihara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Enam buah bot kecil yang digunakan setiap hari meronda keliling perairan Sungai Brunei di Kampong Ayer untuk mengutip sampah, kini digantikan dengan bot berteknologi terkini dan berkeupayaan tinggi yang lebih efektif dan efisien dalam pengutipan sampah.

    Bot-bot terbaharu berkenaan adalah dua trash skimmer boat yang dilengkapi dengan penghantar mesh yang tahan lasak, empat bot scavenger, empat bot kerja dan sebuah tongkang pontoon mengutip sisa yang bermotor dan konveyor boleh alih tahan lasak untuk membuang sampah, termasuk penghadang sampah terapung yang berkualiti tinggi untuk ditempatkan di kawasan-kawasan strategik.

    Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Trash Skimmer Boats di bawah Projek Pembersihan Sungai Brunei bagi Tempoh Tiga Tahun di Jeti Darussalam, Taman Mahkota Jubli Emas.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

    Selepas pelancaran, tetamu kehormat menyaksikan demonstrasi pengendalian trash skimmer boat dalam mengutip sampah-sampah terapung di Sungai Kedayan.

    Enam buah bot kecil yang digunakan setiap hari meronda keliling perairan Sungai Brunei di Kampong Ayer untuk mengutip sampah, kini digantikan dengan bot berteknologi terkini dan berkeupayaan tinggi yang lebih efektif dan efisien dalam pengutipan sampah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dr Nor Imtihan hadir untuk menyempurnakan pelancaran majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Projek Pembersihan Sungai Brunei pada masa ini merangkumi kutipan sampah terapung di sepanjang Sungai Brunei dan di beberapa anak sungai utama dengan cara disiut menggunakan jaring penyiut yang dilakukan oleh sekurang-kurangnya seorang pekerja dan dibantu oleh pemandu bot.

    Sebagai usaha pihak kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan pembersihan Sungai Brunei, Kementerian Pembangunan melalui JASTRe telah melaksanakan Projek Pembersihan Sungai Brunei dengan menyeluruh hingga ke kawasan perairan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien bagi tempoh tiga tahun.

    Projek berkenaan juga merupakan inisiatif di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK).

    Berdasarkan rekod kutipan yang telah dilaksanakan selama ini, pelbagai jenis sampah telah dikutip dari Sungai Brunei termasuk botol plastik, tin, bekas plastik, beg plastik, alas kaki dan juga barangan bilik rumah seperti bantal.

    Pihak JASTRe menyeru orang ramai supaya lebih bertimbang rasa dan beringat dalam menjaga kebersihan Sungai Brunei bukan sahaja memandangkan ia merupakan salah satu tarikan pelancong yang popular di negara ini malah ia boleh mencerminkan ciri-ciri masyarakat Brunei.

    Menjaga kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab setiap orang di mana pihak kerajaan dan orang ramai memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan senegara, dalam membina komuniti yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan bersih.

    Orang ramai turut dinasihatkan untuk melaporkan kes-kes pembuangan haram di tempat awam ke Talian Darussalam 123 untuk tindakan lanjut.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamit, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan JASTRe serta wakil-wakil dari pihak kontraktor yang dilantik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...