Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Taliban, Barat mula rundingan krisis

    OSLO, 24 JAN – Dalam lawatan pertama ke Eropah sejak kembali memerintah, Taliban akan memulakan rundingan bersejarah bersama diplomat barat di Oslo hari ini bagi membincangkan krisis kemanusiaan di Afghanistan.

    Walau bagaimanapun, komuniti antarabangsa menegaskan Taliban mesti menghormati hak asasi manusia sebelum bantuan disambung semula.

    Delegasi Taliban, yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Amir Khan Mutaqqi memulakan rundingan bersama wakil-wakil dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Jerman, Itali, Kesatuan Eropah (EU) dan Norway.

    Rundingan secara tertutup, dipengerusikan oleh Norway, diadakan di hotel Soria Moria, kawasan berbukit di pinggir Oslo.

    Situasi kemanusiaan Afghanistan semakin meruncing secara drastik sejak Ogos lalu apabila Taliban kembali berkuasa 20 tahun selepas digulingkan.

    Bantuan antarabangsa sejak itu telah dihentikan, menjejaskan jutaan penduduk yang mengalami kebuluran akibat kemarau teruk.

    Thomas West, wakil khas AS bagi Afghanistan, melalui Twitternya berkata, “Ketika kami cuba menangani krisis kemanusiaan bersama sekutu kami, rakan dan pertubuhan bantuan, kami akan meneruskan diplomasi bersama Taliban mengenai kebimbangan dan kepentingan berterusan kami terhadap Afghanistan yang stabil, menghormati hak dan inklusif.”

    Setakat ini kerajaan Taliban masih belum diiktiraf antarabangsa.

    Norway menekankan bahawa rundingan, yang telah dikritik oleh sebilangan pakar dan ahli diaspora Afghanistan, ia ‘tidak mewakili pengesahan dan pengiktirafan Taliban’.

    Sementara itu, Taliban berharap rundingan ini akan membantu “menukar keadaan perang kepada situasi lebih aman,” menurut jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid memberitahu AFP, Sabtu lalu. – AFP

    Taliban akan memulakan rundingan bersejarah bersama diplomat barat di Oslo hari ini bagi membincangkan krisis kemanusiaan di Afghanistan. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...