Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Techworks realisasikan impian pencipta jordan

    AMMAN – Di zaman COVID ini, jurutera mekanikal Jordan, Saliba Taimeh memikirkan cara untuk menangani satu permukaan yang tercemar setiap hari, seperti susur tangan eskalator di pusat beli-belah dan hab pengangkutan.

    Dia kemudian mencipta sebuah peranti untuk mensteril dengan sinaran UV dan di sinilah TechWorks mengambil peranan. Banyak idea tidak akan dapat dihasilkan tanpa TechWorks, platform Jordan yang bertujuan untuk mengumpulkan belia, idea dan sumber untuk memulakan inovasi.

    Ditubuhkan pada 2018, TechWorks berkata misinya ialah ‘untuk menceburi ke dalam ekosistem keusahawanan dan inovasi’ dan menjadikan idea menjadi realiti.

    TechWorks dilengkapi dengan teknologi terkini seperti pencetak 3D dan bekerjasama dengan yayasan yang ditubuhkan oleh Putera Mahkota Hussein. Tahun lepas, ia menarik minat kira-kira 100 pencipta dan syarikat baharu, membolehkan mereka menghasilkan prototaip dengan cepat dan pada kos rendah.

    Taimeh, 39, berkata TechWorks “membekalkan saya setiap sokongan, bantuan, nasihat dan bimbingan” untuk menjadikan peranti pensterilan berfungsi lebih sempurna, selepas 23 percubaan selama hampir dua tahun.

    Ciptaannya mensterilkan susur tangga eskalator “daripada semua jenis virus, seperti koronavirus dan bakteria,” katanya.

    Selepas menghubungi beberapa syarikat antarabangsa, sebuah firma Jerman yang pakar dalam kesihatan dan keselamatan di tempat awam telah mendaftar untuk menghasilkan ‘Brigid Box’. Dengan berat 7.2 kilogram, ia boleh dipasang dalam masa kurang 15 minit.

    Saliba Taimeh, seorang jurutera mekanikal dan pencipta Jordan ketika ditemu bual pemberita di makmal TechWorks di ibu negara Jordan, Amman. – AFP
    Orang ramai bekerja di makmal TechWorks di Amman. – AFP

    Kisah kejayaan

    Itu cuma salah satu daripada cerita kejayaan Taimeh. Pelajar sekolah tinggi, Zain Abu Rumman, 18, telah membangunkan alat pengesan untuk pesakit warga emas dan orang berkeperluan khas, dipakai seperti jam tangan atau di leher.

    ‘SPS Watch’ mempunyai bateri yang tahan lapan hari dan tahan terhadap air, haba dan pecah.

    “Peranti itu boleh menghantar makluman kepada telefon bimbit ahli keluarga melalui aplikasi khas sekiranya orang yang memakainya terjatuh atau cedera, atau jika dia melencong dari tempat tertentu,” kata Abu Rumman.

    Dia mengambil masa dua setengah tahun untuk menyempurnakan dan dia telah mencapai persetujuan pengeluaran dengan sebuah syarikat China.

    Omar Khader, 26, bekerja untuk ‘Jazri Studio’, sebuah syarikat reka bentuk perindustrian yang telah mencipta plug ‘pintar’ untuk melindungi kanak-kanak daripada renjatan elektrik.

    “TechWorks mempunyai peralatan canggih, jurutera dan juruteknik yang membantu kami menukar idea kami kepada produk yang berjaya,” katanya.

    FabLab ‘terbuka untuk semua’

    Pereka bentuk lain, seperti jurutera awam, Malik Nour, 32, masih mempunyai cara yang sukar dan mahal untuk memperhalusi produk mereka. Cetusan idea Nour ialah ‘Pikler Triangle’, direka sebagai mainan kanak-kanak yang selamat dan mesra alam.

    Dia berharap dapat menarik minat IKEA, syarikat gergasi perabot Sweden untuk mengambil produknya, yang sudah pun dijualnya melalui media sosial kepada pelanggan di Jordan, Arab Saudi dan UAE, di bawah label ‘Fares World’, yang dinamakan sempena nama anaknya.

    Ismail Hakki, pengarah eksekutif TechWorks, berkata matlamatnya adalah untuk menyediakan “persekitaran kreatif dan semua sumber yang diperlukan untuk menyokong dan membolehkan golongan muda mengubah projek mereka daripada idea semata-mata kepada produk sebenar”.

    Pintu projek ‘Fabrication Lab’, atau FabLab, “terbuka kepada semua, kami menyokong pelajar, usahawan dan syarikat baharu”, katanya.

    FabLab juga menyediakan perkhidmatan kepada doktor dan hospital dalam bidang pemulihan muka, pergigian digital, pelitup muka dan pensterilan. Atas permintaan doktor, ia mengubah x-ray dada pesakit dengan tumor malignan berhampiran jantung kepada model tiga dimensi dada pesakit menjadikannya lebih mudah untuk dibedah.

    FabLab mencapai banyak kejayaan, termasuk ‘rumah pintar’ yang membolehkan pengguna telefon mengawal peralatan elektrik di dalam rumah dari jauh dengan menghidupkan sistem pemanasan atau penyejukan, dan papan kekunci piano untuk membantu pemuzik buta bermain. Ia merancang untuk membuka dua lagi cawangan di Jordan untuk menyediakan latihan teknologi dan bantuan untuk pelajar sekolah dan universiti. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...