Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Teknik asas slow jigging

    Oleh Raz AS

    Kaedah slow jigging boleh dikatakan sebagai kaedah yang baharu, jika dibandingkan dengan kaedah jigging konvensional yang kini lebih dikenali sebagai fast atau speed jigging.

    Dikembangkan oleh seorang pemancing laut dalam dari Jepun, Norihiro Sato, beliau telah mencari cara bagaimana untuk memikat ikan agar ia menyambar semasa ikan tidak galak mengejar dan memakan umpan.

    Mengikut cerita, ketika Sato turun memancing ke laut, beliau telah memacakkan batang jorannya ke rod holder dengan jig yang tergantung tidak jauh dari dasar untuk membuat pekerjaan lain di atas bot.

    Dengan keadaan laut yang sedikit bergelora, sudah cukup membuatkan jignya bergerak-gerak ke atas dan ke bawah. Setelah selesai dengan tugasan yang dikerjakannya, beliau kembali memegang jorannya dan ternyata seekor ikan telah melekat di hujung kailnya.

    Dari situ tercetus idea beliau dan setelah beberapa tahun melakukan proses mendalami dan memperhalusinya, terciptalah kaedah slow jigging yang pada hari ini dianggap sebagai salah satu kaedah yang paling ampuh untuk memikat ikan.

    Kaedah jigging selalunya dikaitkan dengan penggunaan jig besi tirus, aksi joran yang agresif dan gulungan laju untuk meniru ikan kecil melarikan diri daripada pemangsa. – Agensi
    Jig bagi kaedah slow jigging ini selalunya dipasangkan dengan dua set mata kail, satu di bahagian kepala atau atas, dan satu lagi di bahagian ekor atau bawah, memudahkan ikan tertancap semasa jig turun ke bawah atau diangkat naik. – Agensi

    Kaedah jigging selalunya dikaitkan dengan penggunaan jig besi tirus, aksi joran yang agresif dan gulungan laju untuk meniru ikan kecil melarikan diri daripada pemangsa. Walau bagaimanapun, bagi kaedah slow jigging pula, dua perkataan yang sinonim dengan keadah ini adalah ‘ringan’ dan ‘perlahan’.

    Peralatannya yang ringan dan tidak memerlukan tenaga fizikal yang banyak, jig bagi kaedah ini selalunya dipasangkan dengan dua set mata kail, satu di bahagian kepala atau atas, dan satu lagi di bahagian ekor atau bawah, memudahkan ikan tertancap semasa jig turun ke bawah atau diangkat naik.

    Antara perbezaan yang paling ketara di antara jig besi yang digunakan untuk kaedah fast jigging dan slow jigging adalah, jika fast jig mempunyai reka bentuk yang simetri iaitu sama atau rata pada bahagian sisi kiri dan kanannya, slow jig pula mempunyai bahagian sisi sebelah yang rata dengan sisinya yang satu lagi lebih berat dan berlekuk.

    Reka bentuk ini akan menyebabkan jig tersebut jatuh dengan bahagian sisi yang lebih berat menghadap ke bawah dengan pergerakan tergelek-gelek (wobbling) atau meluncur (sliding) umpama daun jatuh dari pohon, bagi meniru aksi ikan yang tercedera atau hampir mati. Sama sekali berlainan dengan fast jig yang hanya jatuh ke bawah secara lurus.

    Jika kaedah fast jigging yang menggunakan aksi retrieve laju efektif untuk memburu ikan-ikan pelagik seperti tenggiri, alu-alu, wahoo, dan lain-lain, pergerakan perlahan slow jig pula mampu menggoda semua jenis ikan terutama ikan-ikan yang berada hampir di dasar dan spesies penghuni terumbu karang atau takat.

    Boleh dikatakan kaedah slow jigging mampu menghasilkan ikan yang lebih berkualiti berbanding hasil yang selalunya ditangkap menggunakan keadah fast jigging. Ini kerana pergerakan perlahan jig yang meniru ikan yang tercedera menjadi sasaran mudah untuk ikan-ikan yang malas mengejar mangsa atau spesies penyerang hendap seperti ikan kerapu, ikan merah dan lain-lain.

    Joran bagi kaedah slow jigging selalunya lebih panjang berbanding joran fast jigging, dengan kepanjangan antara 6-7.5 kaki. Batangnya lebih halus dan mempunyai lenturan parabolik, yang melentur dari bahagian atas pemegangnya hinggalah ke hujung.

    Disebabkan aksi parabolik jorannya, jig tidak akan terangkat jauh dari tahap kedalaman tertentu apabila joran diangkat, membolehkan jig beraksi lebih lama di sana. Bermakna pemancing dapat menumpukan kawasan sasaran dengan lebih efisien.

    Namun disebabkan lenturan lembut itu juga, pemancing tidak akan melawan ikan dengan kekuatan joran akan tetapi bergantung pada kekuatan reel, dengan itu adalah sangat disarankan untuk menggunakan reel daripada jenis yang kuat dan berkualiti.

    Bagi pilihan reel pula kerana kaedah ini tidak memerlukan retrieve laju dilakukan, reel serbaguna yang berkualiti dan mampu mengisikan banyak tali sudah memadai. Namun sekiranya anda mahu menjana aksi yang cukup pada hujung joran untuk “melantun” jig, reel yang mempunyai nisbah kelajuan tinggi yang mampu menggulung tali antara 80-100 sentimeter panjang setiap gulungan adalah sangat diperlukan.

    Secara amnya, sekiranya awda memancing di perairan sedalam 100 meter, reel awda haruslah mampu mengisikan tali sekurang-kurangnya sepanjang 200 meter. Kekuatan talinya bergantung keadaan namun haruslah daripada jenis braided. Untuk set serba guna atau all around yang sesuai digunakan untuk pelbagai spesies, tali braided dengan rating PE1.5 yang disambungkan dengan tali fluorocarbon 30lb sepanjang 5 meter sebagai perambut merupakan permulaan yang baik.

    Antara teknik-teknik asas yang digunakan untuk kaedah slow jigging ini ada dua, iaitu teknik jerking dan long falling.

    Bagi teknik jerking, jig dijatuhkan hingga ke dasar dan seterusnya pergerakan seakan-akan fast jigging dilakukan namun dengan aksi dan rentak yang perlahan. Rentak dan kelajuan kayuhan juga bolehlah ditukar-tukar untuk mencari apa yang dimahukan oleh ikan. Ikan selalunya akan menyambar sama ada ketika jig naik atau jatuh.

    Manakala sekiranya ikan lebih suka menyambar ketika jig jatuh, teknik long falling pula merupakan teknik yang sangat berkesan digunakan. Hujung joran diangkat tinggi seiring dengan satu kayuhan penuh reel dilakukan, dan kemudian hujung joran dijatuhkan ke bawah dengan laju. Pastikan anda sentiasa memerhatikan tali yang kendur semasa jatuhan dibuat, kerana sebarang pergerakan tali yang tidak normal mungkin bermakna ikan sudah menyambar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...