Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Tuntutan Minah Senget

    Oleh Sharifah –

    Sudah tiga hari Minah berangkat ke alam baka. Namun pemergiannya masih lagi diperkatakan. Semasa hayatnya juga, kehidupannya begitu sukar untuk diteruskan.

    Tempang?! Mungkin itu adalah salah satu di antara penyebabnya. Tetapi ada lagi cerita yang kini semakin hebat diperdebatkan. Iaitu tentang tuntutan Minah Senget terhadap seluruh penduduk kampung.

    “Ingatlah kamu semua, biarpun elok rupa peria, pahit juga dirasa orang!” Itulah kata-katanya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Ucapan itu seakan satu tamparan hebat terhadap semua penduduk kampung. Apalagi setelah persoalan itu ditokok tambah oleh Seri Dagang. Perempuan terkutuk itu sememangnya suka membawa mulut dan itulah kerjanya setiap hari selain menjual kain batik moden.

    Petang semakin beransur tua dan perlahan-lahan menyerahkan warna cerahnya kepada keremang-remangan senja yang telah mulai mengambil tempat. Empat jam kemudian, malam membuka tirai dan bulan purnama pun sudah kelihatan tergantung sambil diselimuti awan pekat. Seperti malam sebelumnya, keadaan cuaca amat baik dan angin sering berhembus dengan sayu.

    “Entah berapa lama, berapa hari lagi aku perlu tunggu si Usop Botak ni!”

    Foto Canva

    Kemarahan Bibah Talam membelah kesunyian malam. Bergelora dan berombak.

    “Sudah tiga hari berlalu, masih lagi belum pulang!,” bentaknya.

    Perasaan resah berubah sama sekali. Di benaknya, berbagai persoalan bersengketa. Entah apa yang sedang difikirkannya.

    Tiba-tiba angin yang pada mulanya bertiup sepoi-sepoi bahasa itu menyerbu tubuh Bibah Talam dengan kuat sehingga bulu-bulu romanya mulai berdiri tegak. Perasaannya pula bertambah bercelaru. Dia kemudiannya mengerahkan kedua tangannya menutup daun pintu. Lalu memasang lampu-lampu yang ada di setiap bilik. Justeru itu debaran di dadanya semakin kuat. Apalagi pada ketika itu, dia mula terdengar suara sayup dari seorang wanita memanggil meminta pertolongan.

    Bibah Talam sesungguhnya sudah begitu maklum dengan suara tersebut. Tak lain dan tak bukan iaitu suara Minah Senget. Untuk menghilangkan rasa takutnya, dia mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Tubuhnya direbahkan dengan harapan dapat melelapkan mata.Namun setiap detik matanya hendak lelap, berbagai-bagai bunyi yang menakutkan didengarnya. Adakalanya kedengaran seperti suara anak damit menangis. Adakalanya pula kedengaran seperti bunyi pintu depan diketuk orang.

    Kemudian kedengaran pula seperti bunyi orang sedang berjalan-jalan di dalam rumah.

    Hakikatnya, dia juga pernah terserempak dengan satu lembaga perempuan sebaik-baik sahaja sehari selepas Minah Senget meninggal dunia. Begitu juga dengan penduduk kampung.

    Sudah berapa kali mereka menemui lembaga seperti Minah tercangkung di pelantar rumah.

    Asal sahaja senja mengorak langkah, lembaga itu tercangkung di situ membasuh beras.

    Sehingga kini, sudah mulai masuk hari yang kedua dan kejadian itu pula semakin menjadi-jadi.

    Beberapa ketika kemudian, kelihatan seperti satu lembaga wanita berpakaian serba putih melintasi pandangannya dengan medukung anak damit yang masih lagi basah berlumuran dengan darah segar. Detik itu juga ianya lenyap entah ke mana. 

    Jarum jam sudah pun menunjukkan pukul tiga pagi. Rasa mengantuk semakin mendesaknya. Tetapi pelupuk matanya seakan tidak berdaya lagi untuk diangkatnya.

    Semakin lama semakin berat dirasa. Tiba-tiba pintu depan diketuk orang. Dengan pantas dia bingkas bangun meninggalkan kamar tidur lalu menguak daun pintu.

    Sejurus sebaik saja pintu ternganga, kepulan asap tebal masuk ke dalam. Asap tersebut berpusar-pusar dipertengahan ruang tamu, tidak ubah seperti kepala angin puting beliung di satu kawasan padang pasir.

    Asap yang putih itu kemudiannya perlahan-lahan bertukar menjadi hitam lalu mengecil dan membentuk satu lembaga. Semakin lama semakin jelas kelihatan.

    Mulai dari kaki hinggalah ke badan menyerupai manusia. Rupa parasnya seakan Minah Senget. Mungkin dia sudah menjadi pontianak atau…? Matanya pula memancar kemerah-merahan. Manakala bentuk wajahnya mencangkung tidak bermaya. Pucat dan lesu.

    Senyumannya pula menyeringai membariskan gigi-gigi yang tajam dan bertaring. Amat mengerunkan!

    Bibah Talam terasa tubuhnya bagaikan dikunci sehingga tidak lagi berdaya hendak melepaskan diri dari genggaman syaitan itu. Dia hanya mampu berdiam diri dan sekaligus menyaksikan polong itu berubah rupa.

    “Aku amat hauskan darah manusia! Mungkin inilah balasannya!”

    “Jajaaaa Jangan! Aku sama sekali tidak berniat! Summm! Sumpah!”

    “Ah semuanya karut! Aku tidak pernah minta dijagakan begini,setelah bebas aku boleh berbuat apa saja! Tidak ada siapa lagi yang berhak ke atas diriku!”

    Tanpa berlengah, polong itu terus mencekik dan menghisap darah Bibah Talam. Darah segar mulai mengalir dari arah lehernya. Lembaga itu kemudiannya membiarkan tubuh malang itu terhempas ke lantai. Justeru selepas itu, dikoyak lalu diragutnya hati dan memakan usus-usus yang ada dalam tubuh Bibah Talam. Matanya terbelalak dan sebentar kemudian tubuh malang itu pun berubah menjadi mayat busuk.

    Keesokan harinya, mayat tersebut disempurnakan secara damai. Walaupun demikian, pemergiannya ke alam baka seperti tidak direstui oleh alam. Semua penduduk kampung menjadi bertambah hairan. Mereka seakan mendengar suara alam membentak. Marah.

    Dan apabila kerandanya diusung melintas di setiap kuburan, mereka akan terdengar semua manusia kaku di dalam kuburan bersorak ria dan ada juga yang di antaranya tidak senang jika tubuh malang itu disemadikan berdekatan dengan kuburan mareka.

    Setelah kejadian itu berlaku, keadaan kampung tersebut kini menjadi semakin kucar-kacir.

    Setiap hari ada saja kematian yang dilaporkan. Bila malam mulai melabuhkan tirai, orang kampung akan menjadi resah dan bagi para pemuda yang sering keluar malam, kini mulai meninggalkan tabiat itu.

    Semuanya tinggal memerap di dalam rumah sambil menonton TV atau mendengar radio sahaja.

    Bukan itu saja, keluarga tok penghulu kampung itu pun turut menjadi sasaran Minah Senget. Telah dihebohkan yang hantu tersebut boleh berubah rupa kepada berbagai-bagai bentuk kejadian.

    Tok penghulu selalu memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Tetapi gagal! Kini sudah enam orang bomoh terkenal dipanggil untuk menghalau polong tersebut. Namun jawapannya tetap sama.

    Dalam usaha memikirkan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tiba-tiba pemikirannya melayang setelah mendengar pintu depan diketuk orang. Pintu tersebut diketuk bertalu-talu. Entah siapakah gerangan orangnya! Hantukah?

    Dengan berbekalkan sedikit iman yang tersemat di dalam dada, tok penghulu cuba menguak daun pintu perlahan-lahan. Walaupun demikian, perasaannya tetap juga gelisah.

    Siapa tahu dia akan mati begitu sahaja! Ternyata ramalannya itu tidak benar. Seorang lelaki yang merupakan seorang bomoh terkenal berdiri di depan pintu. Tanpa ragu, tok penghulu mempersilakan Lebai Maaris masuk ke dalam.

    Perbincangan mereka berkisar mengenai Usop Botak, yang dulunya merupakan tukang kebun Minah Senget. Khabarnya sebelum Usop Botak meninggal dunia, dia ada meninggalkan satu pesanan yang paling mustahak.

    Dia pernah memberitahu bahawa (Minah Senget) bekas majikannya itu pernah mengamalkan satu ilmu hitam yang mungkin akan mengeluarkan lembaga berupa polong jika tidak diambil tindakan.

    Iaitu dengan mencucukkan jarum pada kedua ibu jari kakinya. Akhirnya, setelah upacara itu dilakukan barulah keamanan kampung itu pulih semula.

    Sesungguhnya, usia sebenarnya telah memberi seseorang itu pelbagai pengalaman, sama ada sedih, suka dan ada kalanya yang amat menakutkan. Namun terdapat juga pengajaran atau hikmah di sebaliknya jika direnung kembali.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...