Saturday, May 18, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ubaya-ubaya keselamatan pengguna lebuh raya

    Beberapa hari menjelang sambutan perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77 tahun baru-baru ini, saya berdepan kejadian mencemaskan disebabkan pekerja asing yang tidak berhati-hati di sebuah lebuh raya.

    Dalam kejadian itu, seorang pekerja asing yang sedang memotong rumput berhampiran lebuh raya itu, secara tiba-tiba menyeberang lebuh raya tanpa menghiraukan keadaan lalu lintas ketika itu, sehingga saya hampir melanggarnya dan boleh sahaja membawa kecelakaan yang membawa maut.

    Sehubungan itu, saya menyeru pihak relevan agar memantau perkara ini.

    Pihak yang bertanggungjawab, seperti pengawas projek, kontraktor dan pihak agensi relevan di negara ini perlu peka keselamatan para pekerja asing dan pengguna jalan raya lainnya.

    Kejadian di mana beberapa kereta berkelajuan tinggi terpaksa menekan brek secara mengejut untuk mengelak sebarang kemalangan terhadap pekerja yang muncul secara tiba-tiba, sepatutnya tidak dipandang enteng oleh pihak yang berwajib.

    Gambar Freepik

    Pekerja asing tersebut, meskipun mungkin kurang memahami aturan lalu lintas dan risiko yang berkaitan, seharusnya mendapatkan orientasi dan taklimat mengenai keselamatan di lebuh raya sebelum ditempatkan di lokasi pekerjaan.

    Namun, kurangnya pengawasan dan penilaian yang memadai daripada pihak relevan menyebabkan mereka semberono bertindak mencetus bahaya tanpa menyedari risiko yang dihadapi.

    Pihak relevan juga perlu membuat penilaian risiko yang lebih teliti sebelum memulakan pekerjaan di lebuh raya.

    Sementara itu, pengawasan yang ketat harus diterapkan untuk memastikan bahawa para pekerja asing tidak hanya mendapatkan latihan yang memadai mengenai keselamatan lalu lintas, tetapi juga diawasi ketika bekerja di sekitar jalan raya.

    Selain itu, penegakan hukum yang lebih ketat perlu diterapkan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan lalu lintas, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan di negara kitani.

    Tindakan yang tegas juga patut dikenakan sebagai pengajaran bagi mereka yang bersikap acuh tak acuh dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

    Peningkatan kesedaran akan bahaya ini juga harus dibarigakan kepada masyarakat kita secara meluas antaranya mengadakan bengkel keselamatan jalan raya untuk memberikan pemahaman yang lebih baik kepada pengguna jalan mengenai pentingnya memerhatikan tanda peringatan dan mematuhi aturan lalu lintas dengan betul.

    Dengan peningkatan pengawasan, latihan yang memadai, peraturan yang tegas dan pendidikan kesedaran yang efektif, kita dapat menciptakan lingkungan jalan yang lebih aman sekali gus melindungi nyawa kita semua.

    Safety First Patroller

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...