Sunday, April 28, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    United selangkah ke final Piala Liga

    NOTTINGHAM, 26 JAN – Marcus Rashford menjaringkan gol solo yang memberangsangkan ketika Manchester United menewaskan Nottingham Forest 3-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga kelmarin untuk menempah tempat di Wembley bulan depan.

    Pemain England itu menikmati tuah selepas Piala Dunia, menjaringkan gol ke-18 musim ini pada minit keenam untuk mendiamkan penonton yang menanti di City Ground.

    Pemain baharu United yang dipinjamkan, Wout Weghorst turut menjaringkan gol pertamanya untuk United sejurus sebelum separuh masa, untuk meletakkan pelawat dalam kawalan penuh, dan Bruno Fernandes menjadikan kedudukan 3-0 lewat permainan.

    Ten Hag, pada musim pertamanya di kelab itu, telah menghidupkan semula United, namun terdesak untuk memenangi trofi bagi menenangkan peminat yang dahagakan kemenangan.

    Pemain tengah Brazil, Casemiro kembali dalam kesebelasan utama United selepas digantung dalam kekalahan 3-2 Liga Perdana baru-baru ini di tangan pendahulu Arsenal, yang meletakkan United di tangga keempat liga.

    Rashford mengawal bola di bahagian sendiri dan meluru ke kiri, memotong ke dalam kotak antara Joe Worrall dan Remo Freuler sebelum menewaskan Wayne Hennessey dengan rembatan kaki kiri yang padu.

    Reaksi Marcus Rashford semasa perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris. – AP

    Pemain sayap Brazil, Antony hampir menyamakan kedudukan 2-0 seminit kemudian ketika United mengancam untuk menewaskan pasukan tuan rumah.

    Tetapi pemenang lima kali United menggandakan pendahuluan mereka sejurus sebelum separuh masa, apabila penyerang Belanda, Weghorst bertindak balas dengan bijak untuk merembat masuk selepas Hennessey menafikan percubaan Antony.

    United tidak mengalami sebarang masalah pada separuh masa kedua, hampir menjarakkan kedudukan apabila Christian Eriksen merembat bola terkena palang pada minit ke-54.

    Pasukan pelawat terus me-ngancam secara berkala dan melengkapkan malam yang selesa apabila Fernandes menjaringkan gol selepas hantaran bijak daripada pemain gantian Anthony Elanga. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...